Malaysia tetap sasaran lebih tinggi capai NDC

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Malaysia meletakkan sasaran yang lebih bercita-cita tinggi dalam National Determined Contributions (NDC) bagi mencerminkan komitmen negara yang lebih progresif.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sasaran NDC negara kini adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 45 peratus pada tahun 2030.

- Advertisement -

Katanya, penetapan sasaran itu adalah tanpa syarat, iaitu 10 peratus lebih tinggi berbanding sasaran NDC sebelum ini.

“Ini bermakna Malaysia akan melaksanakan tindakan mitigasi pelepasan GHG bagi mencapai keseluruhan sasaran tersebut dengan keupayaan dan kemampuan negara tanpa bantuan pihak luar,” katanya menjawab soalan lisan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pencapaian sasaran NDC negara juga akan dilaksanakan melalui tindakan mitigasi perubahan iklim dalam negara dan tidak melibatkan pembelian kredit karbon dari negara luar.

Katanya, skop GHG merangkumi tujuh jenis berbanding hanya tiga jenis dalam NDC sebelum ini.

Beliau berkata, matlamat utama Perjanjian Paris adalah mengehadkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah Celsius dan dalam jangka panjang serta meningkatkan usaha untuk menghadkan peningkatan suhu tidak melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding tahap era pra industri.

“Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia sejak tahun 2020 memberi cabaran kepada proses pengemaskinian NDC Pertama Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan berjaya melengkapkan proses tersebut dan telah mengemukakan pengemaskinian NDC Pertama negara pada 30 Julai lalu.

Mengulas mengenai sasaran untuk mencapai Net Zero Carbon pada tahun tertentu seperti Amerika Syarikat, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengumumkan semasa pelancaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) atau persidangan 26th UN Climate Change Conference of the Parties (COP-26) di Glasgow pada awal November 2021. – HARAKAHDAILY 21/9/21

- Advertisement -