KASA bangunkan skim perdagangan karbon domestik

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membangunkan Skim Perdagangan Karbon Peringkat Domestik (DETS) dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak berkaitan seperti Bursa Malaysia Bhd.

Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pembangunan DETS adalah sebahagian daripada pembangunan dasar penetapan harga karbon negara.

- Advertisement -

“Pembangunan DETS akan menjadi insentif kepada pihak dalam negara seperti kerajaan negeri dan pihak swasta yang ingin mencari alternatif kepada pasaran karbon sukarela antarabangsa yang mempunyai kos transaksi yang tinggi dan keperluan teknikal yang lebih ketat.

“Dalam hal ini, pembangunan DETS akan membolehkan harga karbon di pasaran domestik sentiasa kompetitif dan berdaya saing,” katanya menjawab soalan lisan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang bertanyakan tindakan strategik untuk memastikan dasar harga karbon yang sentiasa berdaya saing dalam pelan perdagangan karbon yang akan diperkenalkan kelak bagi menarik penyertaan pasaran karbon global.

Tuan Ibrahim berkata, Kabinet juga bersetuju dengan pembangunan panduan pasaran karbon sukarela antarabangsa pada 17 September lalu.

Katanya, pembangunan panduan ini adalah sebagai asas rujukan kepada pihak dalam negara seperti kerajaan negeri dan pihak swasta yang ingin terlibat dalam mekanisme pasaran karbon sukarela antarabangsa.

“Panduan pasaran karbon sukarela yang dibangunkan menyenaraikan tanggungjawab pihak dalam negara seperti kerajaan negeri atau pihak swasta yang ingin membangunkan atau melaksanakan projek karbon secara sukarela.

“Pada masa sama, panduan ini turut menyenaraikan tanggungjawab kementerian yang bertanggungjawab terhadap perubahan iklim dan dasar berkaitan mekanisme pasaran karbon negara,” katanya.

Beliau berkata, panduan ini turut menyenaraikan keperluan teknikal asas bagi melaksanakan projek karbon secara sukarela dan maklumat berkaitan projek karbon secara sukarela yang perlu dilaporkan kepada KASA.

Tuan Ibrahim berkata, peningkatan dalam permintaan kredit karbon oleh pihak swasta susulan dari pelaksanaan mekanisme kawalan karbon yang melibatkan perdagangan antarabangsa oleh negara maju seperti Kesatuan Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat juga akan meningkatkan daya saing harga karbon di pasaran domestik.

“Saya ingin memberi penegasan bahawa sebarang transaksi mesti mematuhi tatacara yang diputuskan oleh pihak kementerian. Sebarang transaksi di peringkat negeri dan swasta mesti dikawal selia supaya pemindahan kredit karbon tidak menjejaskan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mencapai sasaran karbon neutral pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/21

- Advertisement -