Penduduk Kg Sg Baru harap bayaran setimpal

Pandangan dari Flat di Kampung Sungai Baru. Foto AMMAR ZAINAL
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: “Kami bukan menolak pembangunan, tetapi biarlah harga dan pampasan yang diterima itu setimpal dengan tanah yang dikorbankan,” begitu luahan penduduk Kampung Sungai Baru, Yusof Sukaruman, 56 ketika ditemui Harakah, baru-baru ini.

Menurutnya, penduduk tidak menolak sebarang usaha untuk memajukan Kampung Sungai Baharu, namun pampasan yang ditawarkan pemaju dirasakan tidak setimpal dengan nilai semasa tanah yang dimiliki.

- Advertisement -

Dia mempertikai mengapa nilai tanah di Jalan Yap Kwan Seng yang bersebelahan dengan Kampung Sungai Baru mempunyai nilai tanah lebih tinggi berbanding kampung itu.

Katanya, penduduk Kampung Baru ditawarkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding nilai semasa tanah di Jalan Yap Kwan Seng.

“Kami minta kerajaan sekarang yang prihatin ini, bantu kami. Tawaran yang diberikan itu biar setimpal dengan pengorbanan penduduk Kampung Baru, sebab tanah kami akan diambil.

“Bukan kami tidak mahu pembangunan, tapi biarlah setimpal dengan apa yang kami akan hilang,” katanya.

Kata Yusof, Kampung Sungai Baru tidak berada di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS). Kampung Sungai Baru berdekatan dengan Jalan Yap Kwan Seng yang dipisahkan dengan sungai.

Penduduk dalam masa sama akur bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain setelah pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek tersebut telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 bertarikh 21 Jun 2021.

Penduduk Kampung Sungai Baru, Yusof Sukaruman

Ketika ini, kata Yusof, penduduk masih ternanti berapa jumlah yang akan ditawarkan Jabatan Tanah kepada mereka. Bagaimanapun katanya, terdapat juga penduduk yang mengupah penilai hartanah swasta untuk tujuan itu.

Katanya, sekiranya penduduk flat tidak berpuas hati tanah sekaki RM1,000, apalagi pemilik rumah teres yang secara jelas mempunyai tanah di situ.

“Kebanyakan rumah teres tidak setuju sebab apa yang diberi kerana tidak setimpal dengan tanah yang kami duduk, sebab kami bayar cukai pintu, tanah, pembentungan, dan lain lagi. Berbeza dengan rumah flat.

“Paling minimum RM1,300 ke RM1,500 sekaki yang penduduk minta, itu paling sesuai. Kalau tak dapat tunaikan, penduduk akan rasa tertipu dengan pemaju,” katanya.

Selain itu, kata Yusof, antara faktor lain yang menyebabkan penduduk berat hati untuk menerima tawaran itu adalah faktor waktu yang tidak sesuai.

Malah katanya, semua maklum bahawa kemudahan yang dinikmati penduduk tidak ditawarkan di tempat lain seperti kemudahan pengangkutan awam, berdekatan dengan pasar, bandaraya, KLCC, sekolah, hospital dan lain-lain.

Jelas Yusof, sekiranya Jabatan Tanah menawarkan jumlah yang lebih tinggi, penduduk berkemungkinan akan berpuas hati dengan tawaran berkenaan.

“Bukan tidak setuju dengan pengambilan ini, tetapi kami mahu letak syarat. Beri dulu pendahuluan, kemudian kami akan lawan di mahkamah berhubung nilai yang tidak setimpal itu,” katanya.

Pemangku Yang Dipertua PAS Titiwangsa, Muhammad Suhaimi Abd Aziz

Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua PAS Titiwangsa, Muhammad Suhaimi Abd Aziz berkata, pihaknya sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Mengulas mengenai isu yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Baru, kata Muhammad Suhaimi, PAS tidak akan menutup sebarang ruang untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Walaupun kita berada dalam kerajaan sendiri, kita memang sentiasa mendengar. Ruang dialog itu kita memang sentiasa buka antara mana-mana belah pihak.

“Ini prinsip kita, kita tidak mahu menutup ruang dialog dan kita sentiasa mendengar dari suara penduduk,” katanya.

Muhammad Suhaimi yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zone 3 berkata, segala suara dan pandangan yang dikemukakan penduduk kepadanya akan dibawa ke meja perbincangan MPP, seterusnya disuarakan kepada pihak atasan.

Katanya, segala pandangan tidak diabaikan, dan menjadi keutamaan mereka mengutamakan kehendak dan masalah penduduk.

Muhammad Suhaimi juga berpendapat bahawa penduduk layak untuk mendapat bayaran setimpal di atas pengrobanan mereka menyerahkan tanah demi pembangunan semula. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -