Kedah belum pulih, tetapi perkembangannya baik

Perlu pergiatkan lagi aktiviti vaksinasi

- Advertisement -

SEMALAM saya telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Negeri Kedah bagi mendapatkan maklumat terperinci dan meninjau situasi semasa pandemik COVID-19 di sini. Bersama-sama saya adalah pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam rangka lawatan kerja sehari ini saya telah menghadiri Mesyuarat CITF Negeri di Wisma Darul Aman yang dipengerusikan secara bersama oleh YAB Menteri Besar dan saya, meninjau operasi Klinik Kesihatan Kuala Muda, CAC Kota Setar dan melawat Hospital Sultanah Bahiyah bagi melihat sendiri pengurusan kes-kes COVID-19.

Berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kedah dan CITF Negeri, saya dapati situasi pandemik COVID-19 di Negeri Kedah, walaupun masih belum pulih sepenuhnya, telah mula menunjukkan perkembangan yang baik.

- Advertisement -

Kita dapat lihat indikator-indikator penting juga semakin baik terutamanya bilangan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 dan juga bilangan kes harian yang mula menunjukkan trend yang lebih baik.

Kadar vaksinasi bagi seluruh Negeri Kedah juga menunjukkan kemajuan yang baik dengan 60 peratus daripada populasi dewasanya telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19. 

Alhamdulillah, ini adalah usaha keras kita semua selama ini dan sangat penting untuk kita tidak menjadi terlalu selesa dan leka dengan perkembangan yang positif ini. Kita mesti terus mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Saya ingin menarik perhatian anda semua mengenai dapatan berhubung maklumat check-in menerusi analisis mobiliti aplikasi MySejahtera. Untuk makluman, di Kedah, sebanyak 523 check-in dalam kalangan kes positif COVID-19 yang diberikan perintah HSO telah direkodkan sepanjang minggu lepas dan 18 peratus daripadanya berlaku di pasaraya.

Selain itu dalam aspek vaksinasi pula, hampir 20 peratus populasi di Negeri Kedah masih belum mendaftar di dalam aplikasi MySejahtera dan kira-kira 6,000 individu dari beberapa daerah tidak hadir ke PPV untuk menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Saya yakin berdasarkan data yang diberikan hari ini, Negeri Kedah akan boleh beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya sangat bimbang jika situasi pelanggaran peraturan dan keengganan untuk mendapatkan suntikan vaksin seperti yang saya nyatakan tadi akan membantutkan proses pemulihan yang sedang diusahakan.

Oleh itu, saya telah arahkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan juga CITF Negeri untuk mempergiatkan lagi aktiviti vaksinasi serta meningkatkan usaha memberi kefahaman yang betul mengenai risiko COVID-19 dan juga manfaat vaksin kepada penduduk-penduduk, terutamanya di kawasan pedalaman.

Sekali lagi ingin saya ingatkan. Kejayaan negara untuk keluar dari pandemik ini dengan selamat memerlukan penglibatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat. Akhir sekali, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan semua petugas barisan hadapan atas usaha berterusan untuk melindungi masyarakat daripada jangkitan virus COVID-19.

YB KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 20/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/146120775404532/posts/5061018300581397/

- Advertisement -