Mahkamah tolak notis permohonan penghakiman terus UiTM

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu menolak notis permohonan penghakiman terus Universiti Teknologi Mara (UiTM) terhadap seorang pelajar lulusan ijazah sarjana di institusi terbabit.

Noor Bariah Mohamad selaku defendan didakwa pecah kontrak kerana dikatakan melanggar salah satu terma Perjanjian Biasiswa Tenaga Pengajar Muda (TPM) dengan UiTM selaku plaintif.

Peguam bela, Aziriza Mohamad Zaid dari Hanita & Co mewakili Noor Bariah berkata, Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memutuskan menolak dengan kos dalam kausa setelah Mahkamah meneliti afidavit dan hujahan bertulis.

- Advertisement -

Katanya, Nik Nasimah menetapkan kes perbicaraan penuh di Mahkamah Sesyen Sivil Shah Alam pada 25 Julai 2022.

Pada 24 November 2020, UiTM selaku plaintif yang diwakili Penasihat Undang-undang universiti berkenaan menfailkan writ saman tuntutan ganti rugi RM43,200 terhadap Noor Bariah atas dakwaan pecah kontrak kerana dikatakan melanggar salah satu terma Perjanjian Biasiswa Tenaga Pengajar Muda (TPM).

Menurut Aziriza, Noor Bariah telah berjaya menyempurnakan pengajiannya dengan cemerlang.

“Sekiranya benar anak guam saya telah pecah kontrak, maka adalah mustahil Senat yang merupakan badan tertinggi plaintif boleh pula meluluskan anak guam saya pada waktu itu.

“Sebelum kelulusan Senat, anak guam saya juga tidak pernah menerima sebarang peringatan atau amaran dari pihak plaintif bahawa plaintif akan membatalkan tesis atau membatalkan pengajian atau mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana tempoh pengajiannya dilanjutkan atau jika lewat menghantar tesis kepada pihak plaintif,” kata Aziriza.

Katanya, defendan juga mempersoalkan tindakan UiTM menyaman selepas mengurnia anugerah pencapaian akademik dan meluluskan ijazah sarjana dengan cemerlang kepada Noor Bariah.

“Tindakan menyaman graduan cemerlang seperti Noor Bariah amat dikesali apabila UiTM tidak mempertimbangkan status ekonomi beliau yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sedangkan pada masa lain, UiTM boleh dan telah memberikan lanjutan pengecualian sewaan ruang niaga kepada 718 peniaga yang berjumlah RM2.7 juta di semua premis UiTM di seluruh negara bermula Oktober 2020 dan pengurangan Yuran Konvokesyen sesi ke-93, 94 dan 95 berjumlah RM3 juta baru-baru ini,” jelas Aziriza lagi.

Terdahulu, persidangan mahkamah yang berlangsung semalam diadakan secara maya. – HARAKAHDAILY 16/9/2021

- Advertisement -