Pemilik Kem Kenari serah tanah kepada PAS

Terkesan dengan khidmat bakti Jabatan Amal, amilin dan pimpinan PAS membantu

- Advertisement -

JERAI: Pemilik Kem Kenari, Jaafar Man telah menyerahkan tanahnya seluas 5 relung kepada PAS sebagai membalas usaha murni parti Islam ini membantu mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai.

Secara khusus, tanah bersebelahan kem tersebut diserahkan kepada Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah untuk diusahakan bersama PAS Kawasan Nibong Tebal dan Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang.

- Advertisement -

Setiausaha Ulamak PAS Kedah, Ustaz Yusuf Ahmad mengumumkan perkara itu di hadapan 50 anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Nibong Tebal pada penutup Operasi ‘Clean and Clear’ di Kem Kenari, di sini pada 11 dan 12 September lalu.

Kejutan lewat petang ini disambut laungan takbir yang bergema memecah keheningan alam semulajadi sedang menggamit senja itu dan titisan air mata kegembiraan dan syukur mereka bagi operasi kali kelima di sini.

Dalam ucapannya itu, Ustaz Yusuf ternyata terharu mengimbas keterlibatan Ulamak PAS Kedah mengetuai dan menyelia kerja pembersihan di kem ini dibantu pasukan AMAL Nibong Tebal yang begitu komited membantu.

Anggota yang hadir pujinya, bukan sahaja tidak ‘lari’ berdepan lumpur setebal 3 kaki dan memenatkan itu, malah konsisten datang sehingga lima kali bersama jumlah tenaga ramai dan peralatan serta jentera sendiri serta pasukan memasak.

Jaafar yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu’ pula dalam ulasannya menyifatkan PAS adalah parti sangat ikhlas pada bantuan kebajikan seperti itu di mana ternyata telah membawa perubahan termasuk ke atas pemikiran para penduduk.

“Bukan sahaja landskap di Yan ini berubah akibat kejadian kepala air, tetapi landskap pemikiran rakyat juga berubah. Bahawa inilah satu parti dan kerajaan yang amat prihatin membantu rakyat seikhlas-ikhlasnya.

“Semoga Allah S.W.T sahaja membalas usaha murni amal ini dan kita minta PAS akan terus kekal menerajui Kedah ini,” ujar beliau terharu.

Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff pula merakamkan penghargaan kepada Ulamak PAS Kedah kerana menyelaraskan operasi mereka di samping memenuhi kehadiran anggotanya dengan pengisian tarbiyah.

Operasi terakhir selama dua hari satu malam ini turut diadakan kuliah Maghrib oleh Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Kedah, Ustaz Dr Nizam Abdul Rahman dan qiyamullail serta kuliah Subuh oleh Ketua Ulamak PAS Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman.

Turut hadir memantau dan memberikan sokongan kepada pasukan operasi ini adalah Ketua Pengarah AMAL, Norazman Ishak dan Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar pada pagi Ahad tersebut.

Penutup operasi disempurnakan Syeikh Mohamad Rodi dengan doa dan mengijazahkan Selawat Saadah serta harapan agar terus istiqamah dalam perjuangan PAS dan meluaskan kerja amal demi keredhaan Allah. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -