Tarbiyah pembina, Penerangan penggerak – Ustaz Idris

- Advertisement -

TEBRAU: Tarbiyah dan Penerangan menjadi komponen penting yang perlu saling kolaborasi demi menegakkan tujuan dan peranan PAS di persada tanah air, demikian kata Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad.

“Tarbiyah berperanan membina jentera yang berkualiti dalam hubungan terhadap Allah dan sesama manusia, manakala Penerangan pula menjadi medium untuk gerak kerja.

- Advertisement -

“Dalam mendepani suasana pandemik dan alaf baru ini, semua ejen penerangan perlu beradaptasi menggunakan pendekatan semasa seperti Revolusi 4.0, media sosial, ‘big data’ dan konsep langit terbuka,” ujar beliau.

Ustaz Idris menegaskan demikian dalam taujihatnya pada Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor yang berlangsung secara atas talian, kelmarin.

Menyentuh peranan media sosial yang bersifat interaktif, beliau juga turut mengingatkan agar semua jentera penerangan yang bertugas di lapangan media sosial untuk menjaga adab dan akhlak sebagai seorang Muslim dan duta kepada PAS. 

Jelasnya, nilai akhlak lebih utama dari ilmu atau maklumat perlu disampaikan dan beliau juga turut menekankan agar masyarakat sentiasa menilai penampilan dan kata-kata setiap jentera PAS.

“Suasana hari ini terdapat kewujudan golongan yang membenci politik, sedangkan politik Islam yang dibawa oleh PAS sentiasa menyeru kepada kesatuan, kasih sayang serta beramanah dalam menjalankan tugas,” tambah beliau lagi.

Beliau juga memetik kata hukamak yang bermaksud bahasa sikap itu lebih tinggi daripada bahasa ucapan di mana menyatakan penerangan paling berkesan adalah yang disampaikan dengan amalan. 

Media PAS perlu sentiasa ketengahkan aktiviti PAS terhadap masyarakat sebagai bukti kerja buat ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat,” kata Ustaz Idris.

Beliau dalam ucapannya itu turut menyeru supaya setiap ahli PAS menjadi pemudahcara kepada rakyat dan berpolitik untuk membantu rakyat, serta bermatlamatkan kehidupan akhirat.

Konvensyen dianjurkan Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Johor ini telah dihadiri seramai 135 peserta dari seluruh Kawasan negeri ini dan Ustaz Idris juga berkesempatan meluangkan masa untuk sesi soal jawab.

Terdahulu, Konvensyen telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dengan pelancaran Dana Penerangan PAS Johor.

Turut melakukan pembentangan antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin, serta Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Johor, Dr Karim Deraman. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -