Anak muda elak guna media sosial sebar fitnah

Hafez Sabri
- Advertisement -

Oleh HAIKAL MOHD NOH

TAMBUN: Etika penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak muda dilihat semakin membimbangkan memandangkan ada sebahagian mereka tidak memanfaatkan bagi menambah ilmu pengetahuan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak Hafez Sabri berkata, pada tahun 2020, direkod pengguna laman media sosial di Malaysia mencecah 88.7 peratus dan 34 peratus daripadanya berumur 20 hingga 24 tahun.

- Advertisement -

“Umum mengetahui bahawa anak muda ibarat kain putih yang bersih dan mudah dicorakkan dengan pelbagai warna sama ada ia berbentuk fitnah, hasutan dan sebagainya,” katanya di sini.

Beliau berkata, anak-anak muda mesti menghayati etika media sosial sebagai platform komunikasi alaf baru dan mengelakkan mereka terbabit dalam penyebaran fitnah.

Kata beliau penyebaran fitnah semakin marak setiap kali menjelang pilihan raya di mana ia boleh mengugat keharmonian hidup rakyat.

Menurutnya juga kesedaran penggunaan teknologi maklumat (IT) dan media baharu mesti dihayati setiap rakyat Malaysia khususnya golongan muda.

Kata beliau anak muda merupakan tonggak negara perlu memanfaatkan ruang dan masa dengan menuntut ilmu dan mencari info yang bermanfaat untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Oleh itu anak-anak muda mesti memainkan peranan sewajarnya di platform media sosial bagi tujuan positif dan mengelakkan daripada terbabit menyebarkan fitnah yang boleh memudaratkan negara. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -