Bersyukur dengan nikmat perpaduan ini

ALLAH S.W.T berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: 

Advertisement

“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(al Anfal: 63).

Sesungguhnya jajaran politik perpaduan ummah diterima sebagai satu-satunya formula terbaik untuk memperkukuh dan memperkasakan kuasa politik Melayu Islam di tanah air. Kegagalan menghidupkannya bermakna membuka semula peluang untuk negara ini kembali dicaturkan oleh golongan minoriti yang kukuh bersatu sebagaimana berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

PRU ke-14 telah merubah landskap politik negara, lantaran kegagalan parti-parti politk Melayu Islam bersatu, undi masyarakat Melayu Islam telah berpecah tiga mengikut kadar yang berbeza-beza mengakibatkan kuasa politik Melayu menjadi lemah sedangkan kelompok bukan-Melayu yang bersatu atas arahan DAP menjadi penentu buat pertama kali dalam sejarah.

PAS dan Umno bersaing sesama sendiri, memudahkan calon-calon Pakatan Harapan naik iaitu mengambil baki undi Melayu yang menolak PAS dan Umno dicampur undi ‘solid’ bukan-Melayu mengakibatkan PH mampu merobohkan kubu BN di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang.

Keputusan PRU ke-14 ini adalah isyarat kuat yang sepatutnya membangkitkan keinsafan dan kesedaran di kalangan parti-parti politik Melayu Islam bahawa formula atau apa sahaja kekuatan tradisi pra PRU-14 lampau sudah terlerai dan tidak lagi relevan dan terpakai. Keputusan PRU-14 mencorakkan satu landskap baru politik yang memberikan mesej bahawa kuasa politik minoriti walaupun kecil tetapi apabila ia bersatu dalam keadaan politik umat Melayu Islam berpecah, ia boleh bangkit menjadi kuasa penentu dan malah dominan dalam kerajaan sebagaimana disaksikan apabila PH berkuasa di peringkat Persekutuan.

Syukurlah Allah S.W.T memberi nafas dan peluang kedua buat kita apabila ditakdirkan PH terlentang jatuh dan digantikan dengan sebuah kerajaan yang kuat didominasi parti-parti politik Melayu Islam Bumiputera, mulanya di bawah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini di bawah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri ke-9.

Dengan kekuatan yang ada dan dari peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T ini sepatutnya kita semua berlapang dada, bijak, berani dan beriltizam tidak lagi mengulangi kesilapan yang lampau. Hari ini segalanya sudah berubah dan realiti perubahan itu menuntut pula perubahan sikap pada semua pemegang taruh, yang memiliki kepentingan dalam mencorak nasib dan masa depan politik ummah ini.

Apa sahaja retak dan ruang yang boleh membawa kepada perpecahan dan sengketa sesama kita perlulah dielakkan, uruskan apa sahaja perbezaan dengan cara terbaik. Lihatlah hari ini walau kita berbeza namun kita dapat duduk bersama mendukung kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang satu. Umno, PAS dan BERSATU selain GPS dan parti-parti lain termasuk Bebas boleh berdiri bersama atas dasar mengelakkan PH kembali berkuasa, tidakkah indah persepakatan ini?

Kesatuan ini adalah bukti betapa Allah S.W.T berperanan meniupkan semangat penyatuan yang hanya dapat tercetus dengan izin dan kuasa-Nya semata-mata sebagaimana tertera dalam firman-Nya pada ayat yang dipetik di atas.

Kita tahu Umno telah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama lagi dengan BERSATU dalam PRU ke-15 nanti walaupun hari ini mereka bersama dalam kerajaan ini. Begitu juga Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya semasa meraikan ulang tahun ke-5 parti BERSATU baru-baru ini membayangkan bahawa BERSATU melalui PN akan mengambil-alih kerajaan selepas PRU ke-15 nanti walaupun pimpinan BERSATU duduk dalam kabinet kerajaan hari ini.

Percayalah hasrat Umno dan BERSATU ini jika dibiarkan berterusan sekali lagi akan mencedera dan menjejaskan masa depan ummah, kita akan sengaja mengulangi kesilapan besar kita pada PRU ke-14 lalu, sekali lagi kita biarkan orang Melayu berpecah lantaran kegagalan kita bersatu dan pasti yang akan bangkit dari perpecahan itu sebagaimana pada PRU ke-14 adalah kaduk yang akan dengan senang hati melompat melonjak naik junjung. Berpesta besarlah PH khasnya DAP ketika itu dan ummah akan menangis kecewa.

Kita mungkin merasakan diri kita telah kuat, kita mampu bersendirian kembali menguasai politik ikut bacaan kita. Tetapi hakikatnya kuatkah lagi kita jika memilih bersendirian sedangkan lapangan politik telah pantas berubah pasca PRU ke-14 kita kini di tahun 2021 bukan lagi 1970 atau 80-an.

Lihatlah pada siri-siri kemenangan BN dalam beberapa Pilihan Raya Kecil pasca PRU ke-14 lalu. Adakah ia bersandarkan kekuatan dan kebangkitan semula Umno semata-mata atau kerana faktor umat Melayu Islam menyambut baik jajaran politik perpaduan ummah yang Umno bina bersama PAS sejurus selepas PRU-14 melalui Muafakat Nasional? Hakikatnya umat Melayu Islam mahukan jajaran ini sebagai kunci kekuatan mereka lantas jangan kita menafikannya.

BERSATU juga naik dengan calonnya sebagai Perdana Menteri ke-8 apabila roboh Kerajaan PH lantaran sokongan dari Umno dan PAS. Ianya bukan berpunca dari kekuatan peribadi mana-mana tokoh atau individu. Ia juga sesungguhnya mampu bertahan kerana faktor sambutan dari umat Melayu Islam yang mengalu-alukan kebangkitan kuasa politik baru menggantikan dominasi DAP dalam kerajaan lalu. 

Oleh itu kembalilah kita kepada menerima hakikat bahawa penyelesaian terbaik adalah apabila kita bersama bersetuju menerima tawaran perpaduan yang dibawa oleh Islam. Harapan besar diberikan oleh umat Melayu Islam dan masyarakat Malaysia amnya pada kita. Jangan kita leka dan mengkhianati harapan itu.

Hari ini Dato’ Sri Ismail adalah Perdana Menteri kita, dan negara di ambang pulih dari angkara pandemik COVID-19 yang bakal menyaksikan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini diterima baik segenap lapisan masyarakat, lantas bersyukur lah kita kerana masih mampu berteduh di bawah bayangan kuasa dan kebijaksanaan Allah S.W.T. 

Dalam hal ini PAS selaku parti dan gerakan Islam bertanggungjawab menjadi alat dan jambatan menyatukan kuasa politik umat Melayu Islam ini agar kita dapat membuktikan kesyukuran kita itu dan bahawa kita mampu berdiri sebagai benteng mempertahankan nasib dan masa depan ummah dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kunci perpaduan ummah terletak pada tangan kita.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1597431713929492/