Di sebalik nama ‘panas’ Nik Muhammad Zawawi

- Advertisement -

Nama Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini sering muncul ‘panas’ di media-media massa tempatan berikutan ketelusan beliau dalam memperkatakan tentang pelbagai isu yang timbul di negara ini.

Kedudukan beliau sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS (DUPP), Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan dan sebelum ini merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Terengganu menyebabkan namanya kerap muncul dalam media massa.

Latar belakang pendidikan anak kelahiran Gong Kala, Pasir Puteh, Kelantan yang juga seorang ahli perniagaan, yang dilahirkan pada 17 Mac 1967 ini ternyata bukan calang-calang. 

- Advertisement -

Graduan ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir) daripada Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1990 ini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Aqidah dan Falsafah di Universiti Al Al-Bayt, Jordan.

Setelah memperoleh ijazah Sarjananya pada 1997, beliau kembali ke tanah air dan memanfaatkan ilmu yang telah dipelajarinya dengan berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra  (KIAS), Kelantan dari 1998 hingga 1999.

Kecintaan beliau terhadap ilmu khususnya berkaitan agama Islam terbukti apabila berjaya memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Apabila beliau terpilih buat pertama kalinya dalam kabinet menteri, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Menteri II di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), HarakahDaily cuba menyelami keperibadian Nik Muhammad Zawawi di sebalik nama ‘panas’ beliau itu.

Ketika ditemui kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, SYAHIRAH SALLEH dan KAIROL ZULHAIDI di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, tenyata dari ketrampilan, pembawaan diri dan bual bicara yang berjaya menyirnakan pandangan yang bernas serta berfikiran ke hadapan, dengan berakar umbikan dan berpegang teguh kepada ajaran, amanah dan tuntutan Islam, terbukti beliau seorang tokoh ilmuan yang mampu diharapkan untuk menggalas dan merealisasikan harapan masa depan rakyat. Ikuti sedutan temu bual bersama beliau.

Terlebih dahulu HarakahDaily ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat (YB) kerana terpilih dalam jemaah kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Apakah perasaan YB sebaik sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri II di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)? 

Nik Muhammad Zawawi: Pertamanya, saya ingin menjelaskan bahawa dalam perjuangan Islam ini, kita semua memahami bahawa tugas dan tanggungjawab adalah suatu amanah yang besar. Ia bukan satu kemuliaan untuk seseorang.

Sebab, tugas dan tanggungjawab apabila Allah beri kepada kita, memang Allah tahu kita dapat menyempurnakan tugas itu dengan baik. Itu asasnya.Cuma kadangkala manusia mengkhianati tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan. 

Terpulang kepada manusia sama ada mahu atau tidak mahu menyahut apa yang Allah sudah taklifkan kepadanya.

Dan dalam konteks pelantikan saya sebagai Timbalan Menteri II di MAFI, bagi saya ada dua perkara. Pertama, saya dengan Allah sebagaimana saya sebut tadi, ini adalah suatu amanah besar yang Allah akan soal dan tanya selepas daripada mati.

Jawatan ini kalau tidak dikendalikan dengan baik, maka ia akan menjadi musuh kepada kita selepas kita mati. 

Dan yang keduanya, dalam konteks kita dengan manusia. Apabila Perdana Menteri melantik saya, saya menerima (pelantikan itu) atas saranan daripada parti (PAS) yang mencadangkan supaya jawatan ini saya pegang. Dan saya pegang, insya-Allah. 

Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan dalam parti terutamanya Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib-Naib Presiden, Senator Idris Ahmad, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan  Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sepakat untuk menyerahkan amanah ini kepada saya sebagai wakil daripada PAS di MAFI.

Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya dan setinggi-tinggi junjung kasih kepada ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah perkenankan cadangan yang telah diutarakan oleh Perdana Menteri.

Saya sedar akan tanggungjawab besar yang saya pikul ini. Tanggungjawab ini akan mengekang kita dengan waktunya, dengan apa untuk kita tunaikan tanggungjawab.

Sebab hidup kita ini kita lebih seronok kalau kita bebas. Mahu pergi ke sana dan ke sini kita bebas melakukannya tetapi apabila kita pegang jawatan, kita akan terikat dengan amanah. 

Dari sudut lain, sudah tentu saya rasa gembira sebab meraih kepercayaan daripada  Agong, pemimpin negara dan rakyat.  

Mempunyai visi dan misi tersendiri, Nik Muhammad Zawawi sedar beliau kini menggalas tanggungjawab besar di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Selain jawatan di MAFI, YB menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS (DUPP), Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ahli Parlimen Pasir Puteh Kelantan dan sebelum ini juga sebagai Presiden Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Boleh kongsikan bagaimana YB membahagikan masa untuk melunaskan tugasan bagi kesemua jawatan tersebut?

Sebelum ini, saya pegang jawatan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Namun bermula daripada hari saya angkat sumpah sebagai Timbalan Menteri II, saya telah meletakkan jawatan di LPP. Sebab LPP di bawah MAFI, jadi tak munasabah saya pegang kedua-dua jawatan tersebut.

Tidak seharusnya apabila seseorang itu apabila pegang jawatan di agensi kerajaan tetapi dalam masa yang sama, pegang juga jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Cuma secara rasminya, saya di MAFI dan dalam parti PAS sebagai Ahli Parlimen Pasir Puteh dan sebagai Ketua Dewan Ulamak Pas serta Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Insya-Allah, saya rasa saya mampu untuk menyempurnakan tugasan-tugasan dengan teratur dan sempurna.

Apakah misi dan visi YB untuk MAFI?

Misi dan visi untuk MAFI secara mudahnya, saya sebut bahawa program ataupun agenda kita adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja dapat membekalkan makanan kepada rakyat dalam negara.

Bahkan kita mempunyai sasaran, walaupun ia memakan masa mungkin beberapa tahun lagi, kita ingin menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar kepada negara dan juga sebagai negara pengeksport hasil tani keluaran negara.

Sebab itulah diperkenalkan sistem pertanian berteknologi tinggi dan kita mengharapkan kepada generasi muda agar menyahut seruan daripada pihak kerajaan.

Ini kerana pertanian moden ini dikhuatiri sukar untuk diterima oleh generasi lama, kalau individu yang berusia  60 tahun atau 70 tahun tidak  ramai yang boleh menguasai teknologi moden pertanian seperti dron dan sebagainya.

Bagi menjadikan pertanian kepada berskala besar, yang terbaharu kita telah perkenalkan di Melaka. Ia merupakan kawasan pertanian yang akan diuruskan secara besar-besaran oleh kerajaan bersama-sama dengan agensi dan juga syarikat-syarikat swasta. 

Insya-Allah, ia akan dikembangkan di Johor sebelum teknologi moden seumpama ini akan diperkenalkan di negeri-negeri pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Ini adalah langkah permulaan untuk kita memastikan sasaran untuk mencukupkan bekalan makanan negara tercapai. Sebagaimana kita tahu, Perdana Menteri beri 100 hari untuk buktikan pencapaian awal, maka ini merupakan suatu sasaran buat saya bersama-sama Menteri MAFI, Dato’ Seri Dr. Ronald Kiandee dan Timbalan Menteri I MAFI, Dato’ Seri Ahmad Hamzah yang akan sama-sama berganding bahu.

Kita akan buktikan dalam masa 100 hari ini akan ada agenda besar baharu yang bakal diperkenalkan kepada rakyat dan akan memberi manfaat kepada negara kita.

Nik Muhammad Zawawi mahu mengubah persepsi umum bahawa bidang pertanian negara juga mampu melahirkan golongan jutawan setaraf sektor bisnes dan korporat.

YB ada mengeluarkan kenyataan sebelum ini mahu melihat lebih ramai anak muda berstatus jutawan muncul daripada bidang pertanian. Apakah langkah yang diusahakan MAFI ke arah itu?

Ya, ini adalah salah satu sebab untuk negara ini beralih kepada pertanian moden. Sekarang ini prosesnya, kita hendak perkenalkan pertanian sebagai suatu perniagaan dalam kehidupan manusia. Ini adalah salah satu daripada perniagaan yang membolehkan manusia menjadi jutawan. 

Sebelum ini apabila kita sebut jutawan, kebanyakan orang hanya nampak sektor korporat, kontraktor mega, bisnes pasar raya besar atau kedai emas, baru boleh jadi jutawan.

Orang tak nampak, menanam padi atau tanam sayur pun boleh menjadi jutawan. Hari ini kita sudah buktikan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Saya sudah  dua tahun menjawat jawatan Pengerusi  LPP. Kita telah melahirkan jutawan lada, jutawan sayur, jutawan fertigasi dan jutawan ternak lembu.  

Alhamdulillah, dengan pertolongan daripada Allah. Mereka ini memang betul-betul jutawan, bukan sekadar pada nama tetapi ini kita telah isytiharkan mereka sebagai jutawan untuk galakkan orang lain menceburi bidang pertanian.

Jadi, ini adalah strategi yang kita bina di bawah MAFI. Alhamdulillah, kita akan capai sasaran sebagaimana Perdana Menteri mahukan daripada MAFI ini.

Selepas PAS berada dalam kabinet kerajaan, muncul golongan tertentu terutama netizen di media-media sosial tertentu yang sangat lantang mengkritik PAS kini tidak sama seperti ketika jadi pembangkang dahulu, khususnya dalam memperjuangkan tentang sesuatu isu berkaitan hukum-hakam Islam. Boleh YB komen?

Dalam konteks parti politik, apabila kita berada dalam sesebuah parti politik, kita akan berusaha utarakan sesuatu idea untuk dilaksanakan dalam kerajaan.

Kalau diberi satu jawatan yang besar begini (barisan jemaah kabinet) dalam kerajaan, sudah tentu kita akan bawa agenda daripada parti kita untuk dilaksanakan dalam negara demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kalau kita berada dalam posisi sebagai pembangkang kita sekadar berteori. 

Namun, apabila kita berada dalam kerajaan, ini adalah waktu untuk kita laksanakan apa yang selama ini kita perjuangkan dalam parti kita dan pelaksanaan ini kita akan buat secara berperingkat.

Kita tak buat sekaligus tetapi satu demi satu. Sebab itu, kepada semua di luar sana saya nasihatkan supaya bertenang. 

Sebab kita tengok di luar sana, bila PAS masuk (kerajaan), semua akan bertanya apakah perkembangan isu itu dan isu ini (yang sebelum ini diperjuangkan PAS ketika berada dalam posisi pembangkang).

Anak kelahiran Kelantan ini berikrar akan terus berusaha melaksanakan tugasan dan amanah yang telah diberikan kepada beliau demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya, mereka (pihak yang lantang bertanya dan mengkritik), tidak faham mana-mana parti politik pun seperti itu (mengambil pendekatan berbeza apabila berada dalam kerajaan berbanding sebagai pembangkang).

Sebagai contohnya, Rasulullah SAW sendiri pun ketika berhijrah ke Madinah untuk membela dan menegakkan dan syiar Islam kepada penduduk di sana, Allah tidak turunkan ayat al-Quran secara sekaligus.

Tapi Allah turunkan satu ayat al-Quran terlebih dahulu untuk Rasulullah SAW baca, hafaz dan laksanakan (sebar kepada penduduk Madinah), barulah Allah turunkan ayat al-Quran yang kedua dan proses itu berulang-ulang sehinggalah boleh diterima masyarakat Madinah, barulah ayat-ayat ketiga dan keempat dan seterusnya diturunkan.

Inilah yang disebut dalam Islam sebagai tadarus atau beransur-ansur, jadi apabila seseorang itu bila diberi amanah, maka kita dikehendaki beransur-ansur, satu persatu dilaksanakan.

Ini kerana dalam konteks negara ini kata kalau kita tengok, masyarakat majmuk ini adalah anugerah daripada Allah. Sama sebagaimana Madinah, masyarakatnya majmuk pelbagai bangsa dan agama yang ada di situ lebih daripada 40 jenis penganut agama, lebih banyak daripada Malaysia.

Alhamdulillah kita buat satu demi, barulah masyarakat di negara kita menerima kehadiran acuan daripada Islam sebagai agama daripada Allah, bukan daripada PAS  bukan daripada UMNO, bukan Bersatu, tetapi daripada Allah.

Apa yang menjadi kewajipan kepada semua yang mengucap dua kalimah Syahadah adalah untuk bersama-sama dengan agenda daripada Allah.
Kita kena yakin bahawa semua yang dicipta oleh Allah akan terima pada akhirnya fitrah yang datang daripada Allah. HARAKAHDAILY 15/9/2021 >>>Ikuti laporan eksklusif lanjut dalam Harakah edisi cetak.<<<

- Advertisement -