NGO gesa kerajaan tangani segera isu UEC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan digesa menangani segera isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ketua Penerangan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) Ahmad Syakir Norazli berkata, pengiktirafan UEC dianggap boleh mengganggu gugat persijilan pendidikan negara yang ada sekarang.

Katanya ia sekali gus boleh menjatuhkan martabat persijilan, peperiksaan, penilaian yang digunapakai dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dirangka tokoh pendidik negara sebelum ini.

- Advertisement -

“Mengiktiraf persijilan asing ibarat menghina dan meludah dasar pendidikan kebangsaan yang sedia ada, sekaligus menambah luaskan lagi jurang perpaduan antara kaum dan melemahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada Julai 2020 Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kenyataan memberitahu tidak pernah mengeluarkan kenyataan kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Pada 2012 kerajaan ketika itu menerima lepasan UEC untuk mengikuti PISMP dalam Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Syarat lain yang turut ditetapkan kepada lepasan UEC ialah memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun ketika pentadbiran Pakatan Harapan, DAP memberi amaran tidak teragak-agak meninggalkan kerajaan PH sekiranya tidak mengiktiraf UEC.

Menurut laporan media Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming memberitahu pihaknya mencapai kata sepakat meninggalkan kerajaan PH sekiranya UEC tidak diiktiraf.

Ahmad Syakir berkata, kerajaan perlu tuntas dan bijaksana memulakan langkah langkah yang sesuai untuk menarik balik pengiktirafan sedia ada.

“Biarpun sudah dimulakan sejak 2011, Geng Ustaz menuntut kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia supaya mengkaji semula dan menarik balik pengiktirafan UEC bagi mana-mana program atau institusi yang melibatkan perjawatan terutama dalam sektor pendidikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

- Advertisement -