Kedah komited pelihara biodiversiti Pulau Payar

- Advertisement -

SAYA hadir ke Pulau Segantang di kawasan Taman Laut Pulau Payar semalam untuk merasmikan acara melabuhkan 17 unit tukun tiruan konservasi di sekitar perairan ini.

Program melabuhkan tukun tiruan di kawasan Taman Laut Pulau Payar telah dimulakan sejak tahun 1975 di Pulau Telur. Kajian Jabatan Perikanan ke atas 83 tapak tukun tiruan di seluruh negara mendapati antara 129 hingga 6,047 kg biomass ikan direkodkan dengan nilai sumber tertinggi dianggarkan berjumlah RM84,759.60.

Antara tahun 2006 hingga 2010, Jabatan Perikanan Malaysia telah membelanjakan RM2,993,930 bagi membina 11 tapak tukun konkrit bersaiz besar di Kedah. Tukun-tukun tiruan yang dilabuhkan ini secara langsung turut menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di Negeri Kedah daripada 63,703 tan metrik pada tahun 2005 kepada 83,035 tan metrik pada tahun 2011. 

- Advertisement -

Tukun konservasi yang dilabuhkan semalam dijangka akan memberi manfaat kepada 10,981 nelayan melalui kesan limpahan ikan (spill over effect). Taman Laut Pulau Payar, Kedah telah banyak memberi manfaat dalam memulihara sumber perikanan Negeri Kedah. 

Bagaimanapun, survei litupan karang yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik NGO daripada Coral Cay Conservation pada tahun 2004 dan 2005 melaporkan bahawa litupan karang di Taman Laut Pulau Payar pada ketika itu diklasifikasikan sebagai ‘moderate’ hingga ‘poor’ iaitu dengan peratusan litupan karang antara 0-50 peratus. 

Namun begitu, pemantauan litupan karang tahunan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan pada tahun 2020 mendapati kadar litupan karang berada pada tahap ‘good’ dengan peratusan 60.8 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 50.88 peratus. 

Data saintifik ini menunjukkan bahawa perlindungan biodiversiti marin kepada Pulau Payar melalui konsep Taman Laut telah memberikan perkembangan positif terhadap pemulihan ekosistem terumbu karang di Pulau Payar, Kedah.

Dalam usaha memelihara biodiversiti Taman Laut Pulau Payar, Jabatan Perikanan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah sepakat melaksanakan peraturan baru seperti berikut:

i. Hanya pengusaha pelancong yang berdaftar dengan DOF Kedah dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan di perairan Taman Laut Pulau Payar;

ii. Kemasukan pelancong di Taman Laut Pulau Payar dihadkan kepada 100 orang seminggu;

iii. Taman Laut Pulau Payar akan ditutup kepada pelancong pada hari Selasa dan Rabu setiap minggu; dan

iv. Taman Laut Pulau Payar akan ditutup kepada pelancong pada bulan Mac hingga Mei setiap tahun.

Berdasarkan kepada survei inventori yang dijalankan oleh Jabatan bersama penyelidik Universiti Malaysia Terengganu mendapati, Taman Laut Pulau Payar merupakan perumah kepada 154 spesies (30 famili) ikan karang dan 20 genera karang. 

Kebanyakan spesies ikan di Taman Laut Pulau Payar adalah dari kumpulan ikan bernilai ekonomi tinggi seperti Kerapu, Epinephelus sp. dan Ikan Cupak atau Bigeye trevally, Caranx Sexfasciatus.

Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menyokong segala usaha Jabatan Perikanan Malaysia ke arah peningkatan sumber perikanan seterusnya membantu kesejahteraan komuniti dan sosioekonomi komuniti nelayan serta penduduk tempatan.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

YAB MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar 
Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 14/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/344643813016562/posts/1054425462038390/?d=n

- Advertisement -