Kebajikan muallaf Orang Asal dalam perhatian PAS Pekan

- Advertisement -

PEKAN: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Pekan telah menyantuni masyarakat muallaf Orang Asal Jakun menerusi pemberian bantuan di Surau Kampung Dusun, Chini, di sini semalam.

Sumbangan prihatin COVID-19 ini bukan hanya bertujuan meringankan bebanan masyarakat yang terjejas, tetapi juga bersifat mengambil peduli keadaan mereka berikutan terkesan dengan pandemik ini.

Penyerahan sumbangan berupa barangan dapur diketuai Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim ini mendapat kerjasama daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pekan.

- Advertisement -

Turut hadir dalam mengagihkan sumbangan kepada 32 keluarga ini ialah Setiausaha DUN Chini, Azman Che Ani dan Ahli Jawatankuasa MTD, Ismail Zainor dan Ketua Muslimat DUN, Kamariah Ishak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 turut memberi kesan kepada masyarakat Orang Asal yang mana kebanyakan daripada mereka merupakan penoreh getah.

“Sepanjang PKP ini, orang kampung tidak ada pekerjaan lain, hanya menoreh. Kita orang tak boleh nak keluar sesuka hati, hanya pergi keluar membeli keperluan harian sahaja,” ujar salah seorang mereka, Rubiah Abdullah.

Sungguhpun begitu, mewakili masyarakatnya, beliau menyatakan bahawa mereka bersyukur menjalani kehidupan dengan lebih baik dan tenang sebagai orang Islam walaupun dalam serba kekurangan tersebut.

Muallaf yang tinggal di Kampung Dusun dan Kampung Batu Gong ini bukan hanya dibantu oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tetapi turut menerima sumbangan daripada NGO dan orang perseorangan.

Dalam pada itu, Ustaz Fadhil berharap pandemik ini segera berakhir agar kuliah dapat dijalankan seperti sebelumnya iaitu dua kali sebulan melibatkan kuliah muslimat dan kuliah Maghrib.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pekan berusaha memastikan kebajikan golongan muallaf ini tidak dipinggirkan terutamanya pengisian ilmu agama.

“Kita doakan supaya COVID-19 ini diangkat segera supaya dapat teruskan aktiviti keagamaan seperti biasa,” ujar beliau penuh harap. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -