Penduduk DUN Ketari sedang ‘kejar’ imuniti kelompok

- Advertisement -

BENTONG: Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah telah meluangkan kesempatan turun padang meninjau program pemberian vaksin di Dewan Terbuka berdekatan Balai Raya JKKR Ketari, di sini semalam.

Program dilaksanakan secara ‘walk in’ ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk, khusus yang berada di dalam DUN Ketari di mana masing-masing sanggup berdiri dan berbaris panjang hampir 100 meter menunggu giliran.

- Advertisement -

“Berdasarkan tinjauan, sambutan yang diberikan daripada masyarakat setempat terhadap program vaksinasi pada hari ini amat menggalakkan dan kebanyakan mereka adalah penerima suntikan dos pertama.

“Ini menunjukkan masyarakat semakin yakin kepada kebaikan vaksin dan tahap kesedaran mereka terhadap kepentingan pengambilannya semakin meningkat,” ulas Khairuddin pada program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ketari itu.

Kerajaan Pahang menyasarkan rakyat di negeri ini mencapai imuniti kelompok menjelang 14 Oktober iaitu sebelum kedatangan musim tengkujuh bagi mengelak ramai terdedah dengan pelbagai penyakit jika banjir berlaku.

Pengerusi JKKK Kampung Ketari, Al-Fadzilah Mohd Ariffin, dalam pada itu memuji kehadiran Khairuddin memantau perjalanan program vaksinasi tersebut yang disifatkannya sebagai keprihatinan pemimpin tersebut.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar mengikut SOP yang telah ditetapkan. Terima kasih PAS Bentong dan semua yang terlibat memantau dan memberi sokongan kepada program hari ini,” ulas Al-Fadzilah lega.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Mustafa Abu Bakar dan Fairuz Kasmuri serta Setiausaha PAS DUN Ketari, Sahir Abdul Rahman bersama ahli jawatankuasanya, Saifurudin Ali.

Sementara itu, satu tinjauan dalam talian terhadap kadar keyakinan masyarakat di negara ini terhadap vaksin COVID-19 yang diadakan pada Disember lalu telah diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, sebanyak 67 peratus daripada 212,006 responden bersetuju menerima vaksin COVID-19, 16 peratus pula tidak bersetuju kerana khuatir dengan kesan sampingan, selain meragui kandungannya manakala 17 peratus lagi tidak pasti.

Namun, perkembangan semasa program vaksinasi yang sedang berlangsung di seluruh negara merekodkan perkembangan memberangsangkan dan petunjuk kesediaan masyarakat untuk menerima vaksin. – HARAKAHDAILY 11/9/2021

- Advertisement -