Fitnah 9/11: Bencana besar ke atas Dunia Islam

PERISTIWA serangan ke atas menara berkembar World Trade Centre, New York pada 11 September 2001 merupakan tragedi besar ke atas umat Islam. Hingga kini terdapat pelbagai teori dan spekulasi berkaitan siapakah pelaku di sebalik serangan tersebut.

Tetapi yang nyata sejurus selepas serangan itu, media Antarabangsa terus melemparkan tuduhan ke atas Islam. Maka bermulalah kempen besar-besaran yang disebut sebagai War on Terror. Ia diterajui oleh AS untuk mewajarkan tindakan-tindakan kuasa Barat selepas itu ke atas Dunia Islam.

Advertisement

Laporan Rand Corporation

Badan pemikir AS yang cukup berpengaruh, Rand Corporation pernah mengeluarkan laporan mereka pada tahun 2004 yang berjudul The Muslim World After 9/11. Di dalam laporan tersebut, mereka menyatakan perihal senario Dunia Islam yang perlu dihadapi.

Antara kekhuatiran Barat adalah idea-idea pelestarian Islam semakin tersebar. Perkembangan tersebut sudah pasti mengancam agenda penyebaran ideologi Liberalisme tajaan mereka ke atas Dunia Islam.

Rand menggunakan istilah War of Ideas sebagai gambaran corak persaingan antara tatanan Barat dan Fikrah Islam. Ia menyedarkan kita bahawa pendedahan terhadap ilmu-ilmu ideologi sangat mustahak sebagai kelengkapan intelektual bagi Islamis.

Bahkan Rand turut menjelaskan keistimewaan Malaysia selaku Negara Islam yang boleh menghadapkan isu-isu Liberal ke mahkamah, kerana kelestarian agama Islam sememangnya digazetkan di dalam Perlembagaan. Hal ini tidak berlaku di Indonesia sekalipun ia dianggap sebagai negara yang populasinya paling ramai umat Islam.

Gerakan Islam dianggap sebagai ancaman yang perlu ditangani. Sama ada ditentang dengan stigma-stigma kononnya sebagai pengganas, atau dilunakkan dengan wacana-wacana pencairan fikrah dan tawaran akses politik dengan AS.

Hal seumpama ini telah lama ditawarkan oleh AS ke atas segelintir kelompok Islamis, seperti yang turut dinyatakan oleh Peter Mandaville berkaitan polisi AS terhadap Islamisme. Sebagai contoh segelintir pemimpin parti Nahdah di Tunisia menyertai pertemuan peringkat tinggi dengan pihak AS di Washington. Begitu juga segelintir pemimpin PAS ketika era PR turut ditawarkan dengan kursus dan pendedahan seumpama itu. Selepas itu mula diangkat idea-idea yang dilihat lunak dengan ideologi Barat.

Tidak dinafikan, daya persuasif sedemikian banyak diaplikasikan oleh AS ke atas gerakan Islam secara lunak. Apatah lagi jika kita mengerti tahap keupayaan material mereka. Yang mereka mahukan adalah, gerakan Islam sudah tidak perlu tegar dengan agenda Negara Islam, pelaksanaan syariat dan perlu lebih lunak dengan idea-idea kenegaraan serta sosial dari Barat.

Untuk menilai potensi konflik yang boleh direncanakan ke atas negara-negara umat Islam, Rand turut menjelaskan pecahan-pecahan mazhab, bangsa dan kabilah yang wujud dalam kalangan umat Islam. Maka tidak hairanlah selepas itu, berlaku konflik mazhab, sentimen bangsa Arab-Parsi serta etnik. Strategi ini jelas digunakan di negara-negara yang relevan dimangsakan dengan konflik bersenjata.

Pengisytiharan Islamofobia

Pasca peristiwa 9/11 menyaksikan pembingkaian propaganda Islamofobia secara bersepadu di peringkat global. Betapa meluas dan membabitkan biaya yang tinggi, sehingga wujud istilah Islamophobia Industry yang bertujuan menanam persepsi di seluruh dunia kononnya Islam adalah agama yang jahat.

Kita boleh meninjau literasi media yang dimainkan ketika itu. Bahkan filem-filem yang ditawarkan turut membawa naratif Islamofobia. Yang mereka mahu sampaikan adalah Islam-ganas.

Bagi negara-negara yang telah disasarkan untuk kempen ketenteraan, maka isu jihad dimainkan oleh media untuk membenarkan tuduhan mereka. Aksi-aksi keganasan yang sebahagiannya direncanakan dan sebahagiannya dilakukan oleh segelintir juhala’ menjadi justifikasi tuduhan AS ke atas Islam.

Bagi negara-negara yang menempatkan gerakan-gerakan Islam yang berpotensi, maka isu seumpama agenda Negara Islam dan pelaksanaan Undang-undang Islam diangkat menjadi bahan pertikaian. Jika terus berkeras dengan aspirasi tersebut, maka gerakan tersebut mudah sahaja dituduh sebagai pengganas.

Ketika itu, gerakan Islam seperti PAS berdepan dengan wacana berkenaan pro dan kontra Negara Islam, serta soal kewajaran menyebutkan cita-cita pelaksanaan Undang-undang Islam. Pertarungan ideologi seumpama itu hangat berlaku ketika era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Perang Panjang (Long War)

Jika persaingan pengaruh antara AS dan Soviet digelar sebagai Cold War, pertarungan antara AS dan Islam mereka istilahkan sebagai Long War. Ia mula dicetuskan selepas peristiwa 9/11. Bermakna sudah 20 tahun perang panjang ini berlangsung.

Ternyata selepas itu AS mula menyerang negara-negara umat Islam dengan alasan memerangi keganasan. Masyarakat dunia dilihat terpaksa akur kerana jika anda membantah bermakna anda adalah pengganas. Cengkaman Islamofobia sangat membekas, hingga membelah dunia kepada dua. Iaitu sama ada ingin bersama dengan AS atau ingin bersama dengan ‘paksi keganasan’.

Pencerobohan Afghanistan dilakukan oleh AS pada 2001, kemudian Iraq pada 2003. Propaganda konflik antara mazhab Sunni dan Syiah mula dimainkan di Iraq selepas itu. 

Selanjutnya pada 2010, mereka mencetuskan Arab Spring. Negara-negara umat Islam di Asia Barat menjadi mangsa revolusi yang diumpamakan seperti fatamorgana dan perang proksi. Gerakan Islam seumpama Ikhwan Muslimin di Mesir yang memiliki daya mobilisasi yang tinggi dipergunakan ketika pusingan awal. Kemudian mereka dimangsakan.

Sentimen mazhab yang kemudian diolah menjadi perang berjaya dicetuskan di negara seperti Syria. Ia menjadi alasan untuk mewajarkan perang proksi di sana. 

Begitu juga sentimen anti Wahabi turut mengenai gerakan Islam seperti Ikhwan. Strategi menjenamakan agenda menentang gerakan Islam atas nama Sufisme telah awal-awal direncanakan sejak tahun 2001. Hal ini dinyatakan antaranya oleh Nixon Centre & Middle East Forum. Gelombang tersebut dapat disaksikan di negara-negara Arab dan cuba dibawa ke negara kita.

Dalam buku Baina al-Islam al-Rabbani wa al-Islam al-Amrikani yang dikeluarkan pada 2003, Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi turut mendedahkan perkara yang kelihatan selari. Beliau menyatakan sememangnya ada seminar atau kursus di bawah seliaan AS untuk melatih para pendakwah di Mesir selama lebih kurang 6 bulan.

Apa yang berlaku di Asia Barat, hanya bertujuan meranapkan potensi umat Islam di sana. Sementara Israel pula semakin dilihat selamat dan selesa untuk terus melangsungkan agenda perluasan kuasa mereka yang dipanggil sebagai Deal of The Century.

Fitnah besar

Jika kita mahu membicarakan berkenaan fitnah-fitnah yang melanda umat Islam, maka peristiwa 9/11 dan kesan lanjutannya perlu dimasukkan sekali sebagai contoh semasa. Dari peristiwa itulah berlakunya pencemaran pemikiran, media Islamofobia yang menanam ragu, pengkhianatan terhadap umat, konflik berpanjangan atas nama mazhab dan perang proksi.

Banyak pengajaran yang perlu dimuhasabahkan. Namun antara yang penting adalah, masalah umat Islam hari ini lebih gemar berfikir dan menilai berpandukan emosi. Bukan berdasarkan daya rasional yang terasuh dengan wahyu. Lantas dengan kelemahan tersebut, mudah sahaja Barat melangsungkan agenda mereka.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 11/9/2021

Baca juga:

[1] Industri Media Islamofobia

https://www.facebook.com/100000623571778/posts/2156488774381887/

[2] Agenda ke atas gerakan Islam

https://www.facebook.com/100000623571778/posts/3736283609735721/

https://www.facebook.com/100000623571778/posts/3454507387913346/

[3] Propaganda Long War, Sunni – Syiah

https://www.facebook.com/100000623571778/posts/2905518096145614/

Sumber Asal: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=4592433424120731&set=a.878853735478737&type=3