Gamat ‘Negaraku’ SRITI Al-Fateh sambutan Merdeka

- Advertisement -

TEMERLOH: Para warga SRITI Al-Fateh terdiri dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa melakar sejarah tersendiri apabila mengadakan Sambutan Hari Kemerdekaan secara dalam talian, kelmarin.

Kelainan ini kerana situasi ketika ini iaitu berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang menghadkan sebarang aktiviti fizikal bagi mengekang penularan jangkitan.

Pun begitu, usaha menyemai rasa cinta kepada negara serta menyemarakkan patriotisme dalam kalangan warga SRITI Al-Fateh tidak pernah padam, malah komitmen kepada program membuktikannya.

- Advertisement -

Walaupun tanpa perhimpunan dan bersua muka, semangat tersebut dizahirkan seluruh peserta dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa saat bersama menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ secara beramai-ramai.

Pemangku Guru Besar, Ustazah Zalizan Ishak berkata, semua guru dan murid diminta berpakaian cantik untuk sambutan tersebut yang bermula dengan bacaan doa dan nyanyian lagu ‘Negaraku dan lagu rasmi SRITI sambil mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan komputer atau peranti masing-masing.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Hasan Omar ketika dihubungi pula melahirkan rasa syukur dan syabas kepada pihak sekolah kerana berjaya menanamkan sifat patriotik selain kefahaman Islam kepada generasi muda berumur 7-12 tahun ini.

“Inilah pentingnya sekolah aliran Agama seperti ini diperbanyakkan lagi penubuhannya agar masyarakat dapat melihat keindahan dan kesempurnaan Islam yang mencukupi seluruh cara hidup manusia,” tambahnya lagi yang juga bekas calon PAS N.31 Lanchang.

Sempena dengan sambutan itu, pihak sekolah turut menganjurkan pelbagai pertandingan bagi mengasah ilmu dan bakat para pelajar seperti pertandingan kuiz, sajak, melukis, azan dan sebagainya.

Pengerusi SRITI Al-Fateh, Ustaz Fairuz Hisham Nordin pula sangat mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyempurnakan pembinaan bangunan blok A sebelum sesi persekolahan secara bersemuka disambung selepas ini. 

Sumbangan boleh terus disalurkan ke akaun Maybank 5560-5751-4285 Pertubuhan Pendidikan dan Dakwah Al-Fateh/Dana Pembangunan Al-Fateh. – HARAKAHDAILY 10/9/2021

- Advertisement -