Pemuda serius lihat isu Afghanistan, Palestin dan kedaulatan

Photo used for illustration purposes only.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PORT DICKSON: Dewan Pemuda PAS mahu isu Palestin dan nasib negara umat Islam seluruh dunia mesti sentiasa diarusperdanakan.

Pada masa sama, Dewan Pemuda PAS mesti bersikap proaktif mengikuti perkembangan semasa negara umat Islam agar lebih arif terhadap kelangsungan ummah, terutama yang melibatkan rangkaian strategik Gerakan Islam.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata perkembangan mutakhir menyajikan penguasaan Taliban di Afghanistan setelah 20 tahun dicengkam imperalis Amerika Syarikat.

Katanya, rakyat negara itu memberi sokongan terhadap Taliban serta muak dengan kebejatan rasuah dan kegagalan kerajaan melaksanakan kanun Syariah.

Bagaimanapun, katanya apa yang membingungkan ketika negara umat Islam masih terkial-kial, China mengambil kesempatan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar dengan China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh Belt and Road Initiative (BRI) di Afghanistan.

“Pemuda PAS mencadangkan kepada kerajaan untuk memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban. Ini berasaskan trek rekod Malaysia yang mempunyai skil diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu
menyesuaikan penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afganistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.

“Konflik berterusan tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir ‘militaryindustrial-complex’ yang dahagakan darah demi tembolok mereka. Jika China Komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara seIslam,” katanya.

Khairil Nizam berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort di sini, hari ini.

Beliau turut membangkitkan persaingan kuasa dwipolar antara Amerika Syarikat dan China yang secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap wilayah kedaulatan negara di Laut China Selatan.

Katanya, tanpa menghiraukan desakan antarabangsa, Amerika Syarikat tetap meneruskan usaha modenisasi kapasiti perang dan mewujudkan fraksi baharu AUKUS bersama United Kingdom dan Australia.

“Presiden Joe Biden juga melancarkan inisiatif Build Back Better World bernilai RM160 trilion untuk mengimbangi jurang pelaburan China dan rantaian pasaran dunia. Tindak tanduk negara-negara ini dijangka tidak akan mempengaruhi dasar berkecuali negara dalam memastikan Zon Asia Tenggara yang Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS juga wajar meneruskan cadangan yang tertangguh kerana proklamasi darurat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menjadi sebahagian tenaga penting bagi mendukung semangat mempertahankan kedaulatan negara.

Sementara itu, katanya Pemuda PAS telah merintis langkah penyatuan ummah dalam kalangan pemuda Islam nusantara dengan penganjuran program bersama bertemakan perjuangan Palestin.

Katanya, satu diskusi dalam talian telah disusun menampilkan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Parti Keadilan Sejahtera Muda, Ustaz Umar Salim.

“Resolusi yang dipersetujui adalah menamakan lima orang wakil daripada kedua-dua pihak untuk menganggotai jawatankuasa penyatuan ummah. Diharapkan agar hasrat ini terus direalisasikan bagi merancakkan usaha kesatuan pemuda Islam Nusantara. Gagasan penyatuan ummah telah melewati gugusan Nusantara,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -