Khidmat Senoi Praaq masih diperlukan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan perkhidmatan anggota Senoi Praaq yang mempunyai kepakaran eksklusif di hutan belantara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, berkata antara kepentingan Pasukan Senoi Praaq ketika ini ialah sebagai penjejak di hutan, iaitu ketika operasi di hutan belantara, sama ada operasi keselamatan atau operasi mencari dan menyelamat.

- Advertisement -

Katanya, Senoi Praaq juga bertindak untuk persediaan sebagai pasukan simpanan jika berlaku lagi ancaman insurgensi, terutama melibatkan kawasan hutan.

“Pasukan Senoi Praaq juga mempunyai sifat semula jadi yang taat kepada ketua dan tugas yang diamanahkan amat berguna dalam pasukan PDRM,” katanya menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebagai pasukan yang mempunyai kemahiran di hutan, Dr Ismail berkata, pasukan ini ditugaskan untuk membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bersama agensi penguatkuasaan lain di hutan simpan Semenanjung Malaysia seperti Op Bersepadu Khazanah.

Katanya, pasukan ini juga mampu menggalas tugas dengan cemerlang membanteras jenayah rentas sempadan di sempadan negara, terutama di sempadan Malaysia-Thailand bagi kawasan negeri Kedah dan Perlis.

“Semangat juang, integriti, kerja berpasukan yang tinggi di kalangan Senoi Praaq menggerunkan penyeludup di kawasan sempadan.

“Melalui usaha berterusan, pasukan ini melakar kejayaan dalam mengesan dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam aktiviti barangan kontraban,” katanya.

Menjawab soalan berhubung penjawatan anggota Senoi Praaq, katanya terdapat 94 kekosongan jawatan Konstabel Polis Gred YP1 Orang Asli (Lelaki) pada tahun ini.

Menurutnya, eksesais pengambilan jawatan itu telah dilaksanakan pada 5 ingga 23 September lalu dengan seramai 142 orang calon memohon dan daripada jumlah itu, seramai 47 orang calon didapati sesuai untuk temu duga lisan.

Katanya, PDRM masih menggunakan Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel Orang Asli di dalam Arahan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2016 Bertarikh 7 April 2016 berkuat kuasa 1 Julai 2016 (Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia). – HARAKAHDAILY 8/11/21

- Advertisement -