Kim Swee letak jawatan Pengarah Teknikal FAM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Teknikalnya Datuk Ong Kim Swee, yang akan kembali ke kancah kejurulatihan.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata peletakan jawatan bekas pengendali skuad kebangsaan itu, susulan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super Sabah FC yang baharu.

- Advertisement -

“Surat peletakan jawatan itu diserahkan Kim Swee kepada Setiausaha Agung FAM hari ini dan pihak pengurusan FAM menerima peletakan jawatan itu, seterusnya mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Okt 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Kim Swee dilantik Pengarah Teknikal FAM berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, mengisi kekosongan ditinggalkan Peter de Roo yang mengumumkan keputusan untuk mengundur diri setelah tamat kontrak pada penghujung 2020.

Menurut kenyataan itu, Kim Swee, 50, telah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan iaitu ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16), skuad Bawah 17 Tahun (B-17), skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sebelum akhirnya mengemudi skuad senior.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Unit Belia badan induk bola sepak negara itu merangkap Penolong Pengarah Teknikal, sebelum dilantik sebagai pengarah teknikal.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pesta Bola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM, dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC,” kata Mohd Saifuddin. – BERNAMA

- Advertisement -