Pesara Penjara derita darah keluar hidung tanpa henti

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Seorang pesara Jabatan Penjara Pengkalan Chepa kini menanggung derita apabila hidungnya terpaksa disumbat tisu akibat darah yang mengalir keluar tidak henti sejak dua bulan lalu.

Wan Azman Wan Mohamad, 62, sebelum ini menghidapi penyakit kanser pangkal hidung tahap empat. Beliau juga menderita penyakit angin ahmar, diabetis dan darah tinggi.

Penderitaan bekas kakitangan kerajaan itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Prihatin Suri Pengkalan Chepa, diketuai pengerusinya Datin Seri Nor Azizah Sulaiman.

- Advertisement -

Malah kisah penderitaan itu juga sebelum ini mendapat perhatian Adun Kijang, Dr Izani Husin apabila menziarahinya, di samping menghulur bantuan beberapa bulan lalu.

Nor Azizah berkata, pihaknya berharap sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur yang disumbang pertubuhan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sepanjang tahun ini 800 keluarga penduduk miskin dibantu yang melibatkan duit zakat sebanyak RM60,000 yang diperolehi daripada pelbagai pihak.

“Kami agihkan bantuan kepada asnaf, anak yatim dan pesakit kronik,” katanya ketika menziarahi Wan Azman di Kampung Kuala Besar semalam.

Sementara itu isteri Wan Azman, Makelthom Ismail, 56, berkata, suaminya disahkan menghidap kanser pada Julai lalu.

Bagaimanapun katanya atas nasihat doktor, suaminya tidak menerima sebarang rawatan sama ada kimoterapi atau radioterapi kerana risikonya terlalu tinggi.

Katanya, sebelum itu Wan Azman mengalami serangan strok pertama pada 2012 disusuli serangan kedua pada 2015, manakala kali ketiga pertengahan April lalu.

“Keadaan itu menyebabkannya terlantar dengan hidung yang sentiasa mengalirkan darah.

“Sel kanser terlalu aktif dan agresif sehingga merebak ke bahagian otak, selain akan muntah apabila makan atau minum kecuali minum air kosong sahaja,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana anak-anaknya yang berusia 19 hingga 32 tahun terutama Che Muhamad Faizolni Che Mohd Nor, 30 (anak tiri) dan Wan Mohamad Hakimi, 19 sering membantu.

Oleh itu mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menghubungi 011-61672151 atau sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional – 0310029000711639 atas nama Makelthom Ismail. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -