PKR Negeri Sembilan dilanda krisis sejak 2018

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
PKR Negeri Sembilan yang menerajui kerajaan negeri seharusnya menumpukan kepada kesihatan dan ekonomi rakyat, bukannya berebut kuasa.

Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata kerajaan perlu menggunakan semua kemudahan yang ada termasuk balai raya dan fasiliti lain untuk tujuan mempercepatkan program vaksinasi.

Begitu juga katanya pakej ekonomi yang dilaksanakan kerajaan negeri harus bersasar dengan memasuk nilai tambah terhadap pakej yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Isu dalaman PKR sudah ramai sedia maklum. Difahamkan terdapat dua kumpulan besar dalam PKR Negeri Sembilan yang saling mengambil kesempatan.

“Ia bermula seawal 2018 selepas kemenangan PH apabila ada pihak tidak berpuashati dengan agihan jawatan dan diposisikan orang-orang tertentu di dalam kerajaan Negeri Sembilan.

“Malah ia menjadi lebih parah selepas pemilihan parti PKR baru-baru ini. Dalam Paktan Harapan (PH) setiap parti iaitu DAP, PAN dan PKR mempunyai agenda yang berbeza,” katanya di sini.

Media sebelum ini melaporkan pergolakan dalaman PKR Negeri Sembilan sehingga muncul kumpulan menolak kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Malah ada ketua-ketua cabang membuat surat akuan sumpah (SD) menolak kepimpinan Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

Bazli juga berkata, PKR cuba menutup isu tersebut, lebih-lebih lagi presiden mereka, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan Ahli Parlimen Port Dickson.

“Pergaduhan dan perebutan kuasa terus berlaku dan menunjukkan PH di Negeri Sembilan seolah-olah tiada masa untuk memikirkan masalah rakyat yang berdepan kesukaran akibat penularan wabak sekarang,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri dicadang mewujudkan ‘taskforce team’ dengan melibatkan NGO dan parti-parti politik termasuk pembangkang bagi menghadapi pandemik.

“Taskforce itu boleh membantu untuk membangunkan semula ekonomi rakyat. Jika kita dapat keluar awal daripada situasi pandemik sekarang sektor ekonomi dan pelaburan baharu akan cepat berkembang,” ujarnya.

Kata beliau juga biar pun PAS tiada wakil rakyat di negeri itu namun tetap mengambil inisiatif membantu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan menghantar tenaga sukarelawan Jabatan Amal Malaysia.

Menurutnya juga sehingga sekarang lebih RM500,000 dibelanjakan PAS Negeri Sembilan melalui dana kutipan ahli dan korporat dalam misi membantu penduduk yang terjejas Covid-19.

“Tanpa Adun dan Ahli Parlimen PAS tetap berkhidmat untuk rakyat Negeri Sembilan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -