Kepimpinan ulamak tunjangi PAS ke persada politik

- Advertisement -

SEAWAL tahun 80-an PAS telah memperkenalkan konsep Kepimpinan Ulamak di dalam Perlembagaannya. Sehingga diwujudkan Majlis Syura Ulamak sebagai penegasan bahawa PAS bukan sahaja dipandu oleh Dewan ulamak, bahkan sebuah badan tertinggi dinamakan Majlis Syura Ulamak PAS Pusat.

Konsep Kepimpinan Ulamak bukan bermakna mesti ulamak yang membarisi kepimpinan PAS di semua peringkat. Konsep Kepimpinan Ulamak ini tidak merujuk kepada individu tetapi merujuk kepada konsep berfikir, kerohanian, gaya kepimpinan yang digunapakai di dalam PAS. Kerana ramai juga ulamak yang tak berfikir cara ulamak. Manakala ramai juga golongan yang bukan ulamak yang berfikir cara ulamak dan menghayatinya dalam kepimpinan.

- Advertisement -

Supaya kita tidak tersasar jauh dalam memahami konsep ini marilah kita menyemak beberapa perkara yang menjadi ciri-ciri pemikiran ulamak dan gaya kerja para ulamak. Tujuannya supaya PAS tidak dipandu ke arah yang bertentangan dengan slogan Kepimpinan Ulamak yang sekian lama menunjangi perjalanan PAS di persada politik negara. Antaranya;

1. Meletakkan Islam sebagai keutamaan. Kuasa politik hanyalah alat untuk memastikan Islam terpelihara, terjaga dan dapat dilaksanakan. Kerana itu seorang ulamak apabila berpolitik, akan sentiasa memastikan setiap langkahnya adalah demi kepentingan Islam. Fikrah ulamak bukan banyak politiking.

2. Menyedari bahawa jawatan adalah amanah. Justeru itu mereka tidak sombong apabila memperolehinya dan tidak bersedih jika tidak mendapatkannya. Mereka tidak mengampu-ngampu untuk mendapat jawatan, tidak melarikan diri dari tanggungjawab yang dipikulkan. Mereka bukan sahaja istiqamah bersama jamaah tetapi turut istiqamah dalam mempertahankan jamaah. Mereka tidak berebut-rebut bagi mendapatkan jawatan. Oleh itu tindakan lobi melobi sehingga berlaku cantas mencantas bukan budaya dan fikrah ulamak.

3. Tidak memandang remeh siapa pun yang ada di sekeliling mereka. Justeru itu tiada dalam pemikiran mereka sifat membeza-bezakan ahli jamaah. Tidak pernah dibezakan golongan profesional dengan ulamak. Tiada grup ulamak pondok dan ulamak moden yang bukan pondok. Tiada beza antara ahli yang bergelar dan tidak bergelar. Ulamak adalah orang yang menghayati erti persaudaraan dalam Islam. Juga tidak dibeza-bezakan pergaulan antara yang berjawatan dalam parti dengan yang tidak berjawatan.

4. Sentiasa mengutamakan tarbiyyah dan akhirat. Fikrah ulamak adalah fikrah yang sentiasa meletakkan akhirat lebih utama daripada dunia. Justeru itu mereka sentiasa menghidupkan program yang boleh mempertingkat ilmu dan amal. Mereka tidak pernah memperlekehkan sekecil mana pun program yang boleh membina kefahaman kepada Islam dan kecintaan kepada kebajikan dan perjuangan. Mereka tidak beza-bezakan program kelas-kelas kitab klasik dengan kertas-kerja ilmiah di gedung-gedung universiti. Kerana bagi mereka setiap yang membawa kepada akhirat itu adalah keutamaan.

5. Ulamak adalah orang yang berjalan lurus selurus agama Islam. Langkah mereka bukan langkah ZigZag. Dengan maksud cakap lain tapi tindakannya lain bahkan kadang-kadang tidak istiqamah dengan niat perjuangannya. Sesekali kerana jamaah dan sesekali kerana kepentingan diri dan puak.

6. Ulamak itu walaknya kepada Allah, Rasul dan kepimpinan mukmin yang taat kepada Allah. Mereka tidak pernah menoleh ke arah lain selain mencari redha Allah dalam apa jua aktivitinya. Mereka sangat yakin kepada janji-janji Allah. Dan mereka tegas menjaga izzah Islam dalam apa situasi pun.

Demikian sebahagian fikrah ulamak yang sepatutnya terus dijiwai oleh seluruh kepimpinan PAS di semua peringkat. jangan warnakan PAS ini dengan warna selain kepimpinan ulamak. Sesungguhnya seorang pemimpin yang menjiwai jiwa ulamak itu lebih mulia walaupun jahil daripada seorang ulamak yang menjiwai jiwanya orang jahil. 

Marilah kita menjiwai kepimpinan ulamak walau siapa pun kita. Kerana kemuliaan yang sebenar itu apabila kita bersama Islam, ulamak dan para Mursyid dan Solehin.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001490058504/posts/4497235433669414/

- Advertisement -