Kerajaan usah terperangkap politik pembangkang

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah tepat kerana pengalamannya menguruskan pandemik Covid-19.

Menurutnya, pelantikan itu juga meneruskan kesinambungan tugasan yang dimulakan Muhyiddin apabila dilantik sebagai Perdana Menteri awal tahun lalu.

- Advertisement -

“Adalah tidak sesuai untuk kerajaan merombak dasar pemulihan sepenuhnya ketika negara berada dalam keadaan krisis ekonomi dan kesihatan.

“Malah Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri mempunyai tugas yang banyak dan tanggungjawab yang lebih luas.

“Oleh demikian, adalah tepat dan sesuai untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalas tugas sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berdasarkan pengalaman dan kemampuan yang ditunjukkan beliau sebelum ini ketika mentadbir negara,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu berwaspada berikutan pelbagai usaha daripada pihak pembangkang untuk memburukkan serta menjatuhkan imej kerajaan.

“Bagi saya parti pembangkang cuba mencipta naratif bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri tidak berjaya dalam apa sahaja tindakan untuk membantu rakyat.

“Kerajaan perlu berhati-hati dan jangan terperangkap dengan permainan politik pemimpin pembangkang yang cuba menggangu proses pemulihan negara dan tidak perlu melayan selera politik parti parti pembangkang yang sering mengkritik tindakan dan usaha kerajaan.

“Inilah sebenarnya kerja pembangkang yang sering tidak berpuas hati dengan apa sahaja tindakan kerajaan,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM).

Justeru, beliau menyuarakan keyakinan serta sokongan terhadap segala usaha serta dasar yang dilakukan kerajaan bagi membantu rakyat dan memulihkan negara.

“Formula politik negara matang bagi saya mudah sahaja, pemimpin dan dasar yang baik perlu kita sokong dan puji.

“Jika terdapat langkah atau dasar yang dirancang atau diusahakan kerajaan ada kelemahan, kita perlu bersama sama membantu memberi pandangan dan nasihat yang membina,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -