PIAGAM-C19 diperkenal bagi pelaksanaan Inisiatif Mantap

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkenalkan Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM-C19) sebagai usaha memastikan Inisiatif Mantap dapat dilaksanakan.

Menterinya, Senator Tuan Haji Idris Ahmad berkata, Inisiatif Mantap merupakan lima strategi bagi memastikan agar perancangan tema pentadbiran hal ehwal Islam yang dicadangkan Jabatan tersebut iaitu,  ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’ dapat direalisasikan.

- Advertisement -

“Inisiatif Mantap tersebut ialah pemantapan mental, jasmani dan rohani; sistem pendidikan Islam; institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam; institusi masjid dan surau; serta sosioekonomi ummah,” katanya dalam ucapan sulung beliau melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, tema pentadbiran hal ehwal Islam berkenaan diangkat sebagai panduan kepada semua agensi di bawah Jabatan tersebut  untuk melaksanakan dasar dan program yang menjurus ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Antara 14 agensi agama di bawah Jabatan berkenaan ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Sehubungan itu, tambah Idris, bagi memastikan Inisiatif Mantap dilaksanakan segera, beliau memberi tempoh kurang 10 hari untuk agensi-agensi di bawah kementerian itu merangka Piagam-C19.

“Saya telah mengarahkan JAKIM sebagai lead agency untuk menyelaras semua 14 agensi Islam dan sebuah sekretariat khas akan diwujudkan oleh JAKIM bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan,” ujarnya.

Selain itu, bagi mencari solusi terbaik dalam menjayakan Inisiatif Mantap, pihaknya merancang bagi mewujudkan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum, serta fahaman politik.

Beliau berharap lebih ramai pihak akan turut bersama termasuk daripada agensi kerajaan, swasta, badan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya dalam memastikan Malaysia dapat keluar daripada kesukaran akibat Covid-19.

Sementara itu, Idris turut memberi jaminan akan meneruskan polisi-polisi sedia ada yang dibentuk oleh mantan Menteri Agama sebelum ini, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Antara polisi berkenaan termasuklah dasar Manhaj Rabbani yang diperkenalkan sebelum ini adalah sesuatu yang baik.

“Kami akan melihat ruang-ruang penambaikan daripada aspek pelaksanaan bagi memastikan semua agensi kerajaan, swasta dan rakyat keseluruhannya dapat menghayati dan menterjemah dasar tersebut dalam bentuk pelaksanaan aktiviti dan program membentuk masyarakat rabbani,” katanya. – HARAKAHDAILY  1/9/2021

- Advertisement -