Anti vaksin: Jauhi sikap melampau dalam agama

- Advertisement -

SECARA tiba-tiba, tular kembali video mengenai vaksin COVID-19 jenama AstraZeneca yang dikatakan dibuat daripada janin manusia yang digugurkan.

Sahabat-sahabat, bukanlah ianya proses tabayyun sekiranya maklumat-maklumat mengenai vaksin hanya diperoleh melalui video-video yang tidak diketahui asal-usul sumbernya. Kita seharusnya membuat keputusan mengenai vaksinasi berdasarkan sains dan fakta semasa. Ilmu sains adalah satu ilmu yang kita dapat melalui akal. 

- Advertisement -

Sains bukan wahyu di mana hakikatnya tidak dalam bentuk yang tetap. Bermaksud, apa yang menjadi penawar kepada sesuatu penyakit pada hari ini boleh jadi akan berubah pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa fakta sains bukanlah tidak boleh dicabar tetapi ianya mestilah melalui hasil kajian saintifik berwajib serta berdasarkan disiplin ilmu fekah yang sebenar.

Golongan yang menolak vaksin COVID-19 perlu segera menghentikan isu berbangkit dengan penggunaan dalil-dalil agama untuk menyebarkan fahaman mereka di negara ini. Rosaklah masyarakat jika semua hal dan bidang boleh diulas oleh sesiapa sahaja hingga boleh dibuat rujukan dan hujah, walhal telah ada Muzakarah yang dijalankan bersama Mufti-mufti dan pakar dalam bidang perubatan Islam yang menetapkan bahawa vaksin imunisasi hukumnya adalah harus.

Golongan anti vaksin dilihat terlalu taksub kepada satu-satu pendapat sehingga tidak mahu langsung menerima pendapat orang lain dan seolah-olah tidak ada satu pun pendapat lain yang boleh diguna pakai. Dalam kelompok ini, semua orang boleh mendakwa mereka pakar tanpa perlu memberikan bukti kepakaran.

Sikap melampau dalam agama ini puncanya adalah daripada memahami al-Quran dan Hadis dengan cara yang sempit, hanya mengambil ilmu dari ceramah agama yang umum, dan wujudnya sesetengah pihak yang sanggup menyalahgunakan pendapat sesetengah ulamak atau pakar bidang bagi membenarkan dakwaan masing-masing. 

Sikap melampau itu tidak akan membawa kepada kebaikan, tidak kira dalam urusan dunia atau akhirat sehingga Rasulullah S.A.W sendiri berpesan yang bermaksud:

“Jauhilah sikap melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya golongan sebelum kamu kerana sikap melampau dalam agama.”

(Musnad Ahmad)

Tidak salah mahu berusaha dengan rawatan alternatif dan alami tetapi berpada-padalah, jangan sehingga menolak terus vaksin kerana Islam mengajarkan kesederhanaan dalam segenap aspek.

Sikap melampau bukan sahaja merosakkan diri kita, bahkan memudaratkan masyarakat termasuklah orang yang kita sayangi dan sanjungi. Setakat 12 Ogos 2021, 70.7 peratus rakyat Malaysia sudah menerima vaksin dos pertama dan 705 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga telah dibuka di seluruh negara.

Manfaatkanlah peluang ini sebaik-baiknya untuk kita segera mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan segera seperti mana yang telah disasarkan oleh pihak kerajaan.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 15/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1237346883370878/

- Advertisement -