Cronagrama varian menipu

- Advertisement -

KENAPALAH segelintir kita terus ditipu oleh pencipta teori konspirasi kemudian sebarkan kepada masyarakat? Mereka menyebarkan bahawa nama-nama varian baharu itu kononnya telah pun dirancang oleh WHO dan kuncu-kuncunya yang digelar mereka sebagai rangkaian Freemason. 

Sebenarnya penjenamaan semula varian tersebut telah dibuat oleh WHO bukan akibat daripada pengaruh konspirasi ataupun pelan tertentu tetapi ianya bagi memudahkan masyarakat umum yang agak sukar untuk memahami istilah saintifik bentuk angka. 

- Advertisement -

Dalam masa yang sama terdapat isu stigma dan diskriminasi di beberapa negara yang mengaitkan kluster tertentu akibat daripada varian baharu dengan bangsa-bangsa tertentu dari mana asalnya varian seperti Brazil, India, Peru dan seumpama dengannya. Keadaan ini menimbulkan ke tidak-senangan dan stigma serta diskriminasi di dalam masyarakat.

Cuba lihat nama varian baharu COVID-19 dan dari mana asalnya:

1. B.1.1.7. / Varian Alpha: Bermula dari United Kingdom. Dijumpai September 2020.
2. B.1.351. / Varian Beta ditemui di Afrika Selatan. Dikenal pasti Mei hingga Disember 2020.
3.
P.1. / Varian Gamma: Ia dikenali sebagai varian Brazil kerana bermula di sana. Dikenal pasti November 2020 hingga Januari 2021. Profil belum jelas dan tidak meluas.
4. B.1.617. / Varian Delta: Varian berganda dari India. Dijumpai sejak Oktober 2020.
5. B.1.525 / Varian Eta timbul di pelbagai negara. Dijumpai Disember-2020 hingga 17-Mac-2021.
6. B.1.526 / Varian Iato; Bermula di Amerika, November-2020 hingga 24-Mac-2021.
7. B.1.617.1 / Varian Kappa; Pecahan genomik sama dengan Varian Delta dari India, ditemui Oktober-2020 – 4-April-2021.
8. C.37 / Varian Lambda dari Peru, ditemui sejak Disember-2020 hinggan 14-Jun-2021. Makin dikenali dan mula mengganas.

Tarikh ianya ditemui dan mula dikenali ramai pun tidak sama seperti yang dipercayai oleh pihak-pihak yang membawa teori konspirasi. Kebanyakan daripada teori yang sempat saya baca adalah menipu masyarakat. Tapi masalahnya ramai juga orang Melayu Islam yang percaya atas penipuan itu.

Ingatlah Islam mengutamakan kesahihan fakta serta dalil, bukannya andaian dan persepsi. Kita bimbang andai kita termasuk dalam menyebarkan berita yang tidak sahih. Sebagaimana sebuah Hadis diriwayatkan oleh Hafs bin Asim R.A, sabda Nabi S.A.W:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).”

[Riwayat Muslim]

Astaghfirullahalazim.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 12/8/2021

WHO. Tracking SARS-CoV-2 variants. 4 August 2021. https://www.who.int/en/activities/tracking-SARS-CoV-2-variants/

Sumber Asal: https://m.facebook.com/546572572048737/posts/4294895347216422/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -