Bermuafakat memikul amanah ummah

- Advertisement -

PERDANA Menteri baru sahaja terbit ‘live’ di TV dikelilingi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinetnya yang kanan termasuk ketua-ketua atau wakil parti dalam kerajaan. Atas perkenan Agong keabsahan kerajaan akan ditentukan dalam Persidangan Parlimen awal September nanti. Ringkasnya kerajaan ini kekal berurusan seperti biasa sehingga ke tarikh berkenaan.

Rakyat sesungguhnya sedang fokus mengharapkan Pelan Pemulihan Negara akan membuahkan hasil. Berdoa saban hari agar ‘herd immunity’ atau imunity berkelompok akan tercapai seawal bulan September tahun ini dengan harapan kehidupan akan kembali normal. Cukup-cukuplah kehidupan kita terhimpit dan tertekan bahana pandemik ini.

- Advertisement -

Tumpuan rakyat adalah untuk memulihkan kehidupan, memulihkan ekonomi negara agar semua kembali sedia kala. Tetapi mengapa orang-orang politik membangkitkan isu pertukaran kerajaan pertukaran Perdana Menteri di saat genting ini?

Kenapa perlu kita menarik sokongan pada kerajaan majoriti Melayu Islam di saat kritikal ini? Adakah puas hati kita melihat kerajaan ini roboh dan naik kembali ke junjung si kadok yang sebelum ini menggugat maruah dan masa depan ummah? Apa yang kita mahu sebenarnya?

Diangkat maruah agama dan bangsa dengan kepimpinan Melayu Islam yang mewakili majoriti rakyat dalam negara mentadbir dan memerintah kita atau kita bersedia mengorbankan segalanya asal terkabul agenda dan masalah peribadi kita, walau yang naik nanti mereka yang tidak pernah berjuang memartabatkan agama dan bangsa? Di mana keutamaan kita?

Alangkah baiknya umat Melayu Islam dapat bermuafakat dan berbincang, mengukuhkan perpaduan sebagaimana dituntut agama. Jadikan kesatuan akidah kunci penyatuan kita. Biar kuasa politik Melayu Islam kukuh dan unggul selamanya. Kita mungkin ada perbezaan, uruslah ia dengan sebaik mungkin, bukankah kita dari rumpun dan keturunan yang tinggi nilai adat dan budaya, mengapa perlu berbalah sehingga hangus bukan sahaja kelambu tetapi rumahnya sekali semata-mata kerana marahkan pijat yang halus?

Bersamalah kita menggalas tanggungjawab besar ini dengan penuh dedikasi dan dengan pergantungan pada Allah S.W.T. Kiranya diperkenankan wujud ‘herd immunity’ seawal September maka ia bukti kejayaan kerajaan perpaduan ummah, kemampuan umat Melayu Islam yang luar biasa. Semoga Malaysia kekal aman dan sejahtera, stabil dan makmur selama-lamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1567263356946328/

- Advertisement -