Pembatalan ordinan darurat oleh Agong tidak dapat disempurnakan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.

Beliau berkata, dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos lalu, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.

Advertisement

Maka, ujar beliau selaras dengan titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September depan.

“Usul ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan­-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2021