Covid-19: PAS konsisten sokong PM, kekal kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS konsisten memberikan sokongan sepenuhnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sekali gus mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi fokus menangani wabak Covid-19.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, kerajaan sedang memberi fokus sepenuhnya kepada strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sepatutnya ia tidak boleh diganggu dengan sebarang campur tangan politik yang cuba melambatkan peralihan keluar negara daripada kemelut pandemik itu.  

“Kejayaan demi kejayaan telah dicapai terutamanya kadar vaksinasi yang konsisten mencapai 500,000 dos suntikan sehari,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Terbaru, katanya Perdana Menteri juga mengumumkan tiga buah negeri telah beralih ke fasa tiga PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, PAS bersiap sedia memberikan bantuan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara melalui Jabatan Amal Malaysia (JAM) sebagai komitmen bersama para petugas barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara.

Semalam, Muhyiddin menerusi laman Facebook beliau mengumumkan tiga buah negeri yang menunjukkan prestasi yang amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa esok.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan,” ujarnya.

Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -