Ambil tindakan tegas MP pembangkang sertai himpunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap semua peserta yang menyertai perhimpunan haram termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, semalam.

Desakan itu kata Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, selari dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri bahawa sebarang perhimpunan sewaktu Covid-19 adalah tidak dibenarkan dan salah.

- Advertisement -

“Perbuatan berhimpun yang sudah jelas menyalahi SOP (prosedur operasi standard) ini membawa kemarahan rakyat yang selama ini bersabar mematuhi peraturan, walaupun turut terkesan dengan wabak Covid-19.

“PDRM mesti bertindak tegas terhadap kesalahan SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Rakyat boleh bersabar mengenai isu buka surau dan masjid. Begitu juga isu buka perniagaan, rakyat masih sabar walaupun menanggung kerugian. Tetapi perkara yang jelas salah dengan mengadakan himpunan seperti ini mengguris hati rakyat.

“Sepatutnya Ahli Parlimen Pembangkang menunjukkan contoh terbaik dan bukannya mempamerkan perbuatan negatif sehingga menjejaskan usaha kerajaan dalam memulihkan negara pada fasa Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, UMMAH turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dan para pemimpin mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerajaan demi memastikan negara berjaya keluar daripada wabak Cpvid-19.

Katanya, UMMAH juga telah membuat satu laporan polis semalam sebagai pemula, dan menyeru semua pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI) yang cintakan keselamatan negara berbuat demikian bagi mengekang sebarang tindakan yang cuba merosakkan negara ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -