Politik pandemik: Penyatuan ummah mengatasi mafsadah

- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 ini merupakan satu masalah besar yang dihadapi bukan sahaja oleh Malaysia, bahkan oleh seluruh masyarakat sejagat. Hampir tiada satu negara pun yang terlepas dari dilanda dengan masalah ini. Negara-negara yang digelar sebagai negara maju pun menghadapinya dengan seribu satu kesukaran. Demikianlah juga dengan Malaysia, sejak kemerdekaan, Pandemik COVID-19 ini adalah masalah yang paling getir dihadapi oleh negara yang bukan sahaja mengancam kelangsungan nyawa, tetapi juga kelestarian ekonomi.

Dampak Pandemik COVID-19 kepada kehidupan rakyat bukanlah kecil. Ketika artikel ini ditulis, jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia sudah mencecah 9,403 orang, manakala sudah 1,146,186 orang sudah dijangkiti. Ramai juga anak-anak yang sudah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali dalam tempoh sekelip mata. Terdapat juga mereka yang telah bebas dari jangkitan COVID-19, tetapi menghadapi gejala pasca COVID-19 atau juga dikenali sebagai ‘long COVID’ yang boleh menjejaskan kehidupan mereka.

- Advertisement -

Begitu juga kesan Pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara dan rakyat. Tidak dapat dinafikan ada syarikat-syarikat besar atau industri kecil sederhana dan perniagaan mikro yang gulung tikar. Golongan yang hilang mata pencarian sama ada diberhentikan kerja atau dicutikan tanpa gaji bertambah dari sehari ke sehari. Mahasiswa yang baru bergraduasi juga tidak dapat memasuki pasaran pekerjaan. Ringkasnya, semua lapisan rakyat memang terkesan dengan pandemik ini, bezanya ada yang terkesan teruk dan ada yang kurang.

Generasi pelajar sama ada di bangku sekolah atau mahasiswa di menara gading juga menghadapi masalah dalam kegiatan pengajaran dan pembelajaran. Terdapat keluarga yang tidak mampu menyediakan kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR kepada anak-anak mereka disebabkan kemampuan yang terhad. Manakala masyarakat di luar bandar pula, meskipun ada yang mungkin mampu menyediakan, capaian internet pula tidak diperolehi. Demikian kesukaran yang dihadapi oleh generasi pelajar hari ini.

Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan yang dipimpin tidaklah sempurna, tetapi bukan bermaksud mereka berlepas tangan. Telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T, selesai sahaja beliau mengangkat sumpah, kerajaan yang dipimpinnya menghadapi Pandemik COVID-19 ini. Kemampuan kerajaan beliau dapat meredakan gelombang yang pertama sehingga jumlah yang dijangkiti turun satu digit. Namun demikian, seperti yang disebut oleh pakar-pakar Epidemiologi, Pandemik COVID-19 ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk reda.

Melihat kepada dampak Pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh rakyat, diyakini antara yang terjejas paling teruk ialah umat Islam dan kaum Bumiputera di negara ini. Merekalah yang merupakan kelompok teramai golongan B40 dan golongan M40 Bawahan. Bukan itu sahaja, mereka juga adalah golongan yang paling kurang simpanan mereka, justeru survival mereka untuk mengharungi jangka masa Pandemik COVID-19 yang panjang ini adalah rapuh. Dengan pengertian lain, mereka adalah kelompok teramai dalam golongan rentan.

Generasi pelajar yang dalam kategori golongan B40 dan berada di luar bandar juga adalah paling ramai dari kalangan umat Islam dan kaum Bumiputera. Merekalah nanti yang termasuk dalam generasi pelajar yang ‘tertinggal’ disebabkan kemampuan keluarga mereka menyediakan kemudahan PdPR yang terbatas dan capaian internet yang tidak baik di kawasan luar bandar. Kesan ketinggalan ini akan berantaian di masa akan datang selepas berlalu Pandemik COVID-19, di mana pencapaian mereka mungkin terjejas dan kurang mempunyai daya saing. 

Melihat kepada masalah-masalah yang disebutkan, Pandemik COVID-19 sewajarnya mencetuskan semangat semua pihak untuk memperkukuhkan penyatuan ummah. Sekiranya kita menyoroti dampak Tragedi Berdarah 13 Mei 1969 ke atas masyarakat negara ini khususnya umat Islam, tragedi ini telah menarik semua pihak untuk bersatu. Dalam konteks politik, Barisan Nasional ditubuhkan menggabungkan semua parti politik kecuali DAP. Dalam konteks kesatuan ummah pula, tragedi telah melunakkan hati pemimpin-pemimpin umat Islam dan Bumiputera.

Pandemik COVID-19 ini jika dibandingkan dengan Tragedi 13 Mei 1969 boleh jadi dampaknya lebih kurang sama atau mungkin lebih daripada itu. Bagaimanapun, maklum balas pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini berbeza, sepatutnya hati mereka lunak ke arah penyatuan atau sekurang-kurangnya mencari titik pertemuan. Sebaliknya yang berlaku ialah mereka saling cuba menjatuhkan satu sama lain dan mengambil kesempatan daripada masalah besar yang dicetuskan oleh Pandemik COVID-19 untuk merebut kuasa.

Mungkin benar apa yang disebut oleh Almarhum Professor Diraja Ungku Aziz atau lebih dikenali dengan Pak Ungku, ‘penyatuan orang Melayu hanyalah angan-angan’. Lebih enam tahun lepas, apabila Pak Ungku menyebutkan ungkapan ini, saya berazam untuk buktikan bahawa ungkapan itu hanyalah cabaran untuk generasi orang Melayu hari ini merapatkan saf dan berganding bahu membentuk kesatuan ummah. Namun setelah melihat situasi yang berlaku hari ini, ungkapan itu bukan untuk mencabar, tetapi boleh jadi suatu realiti. Biar apa pun berlaku, usaha menyatukan ummah tetap diteruskan, mundur bukanlah satu pilihan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000491178707/posts/7321379397888360/

- Advertisement -