Melampau, PH langgar apa sahaja tanpa kira kesan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menganggap tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang mengadakan himpunan di Dataran Merdeka pagi tadi adalah satu tindakan melampau.

Menurutnya, beliau amat kesal dengan kejadian itu memandangkan beliau yakin Ahli-ahli Parlimen telah diberi notis awal berhubung penagguhan Sidang Khas Dewan Rakyat disebabkan penularan wabak Covid-19.

- Advertisement -

“Berkaitan dengan himpunan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang di Dataran Merdeka pagi ini, yang pertama, (saya) sangat kesal.

“Kerana sepatutnya mereka telah tahu Parlimen ditutup hari ini dengan notis yang diberikan kepada mereka.

“Saya berpandangan bahawa keghairahan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai kerajaan, mereka akan melanggar apa sahaja. Membujur lalu, melintang sapu.

“Kita juga merasakan mereka cuba untuk merealisasikan apa yang disebut oleh Antonio Gramsci berkaitan dengan counterhegemony dan mencipta krisis.

“Kerana apabila mereka mencipta krisis, maka haters atau pembenci kerajaan bersama mereka, dan akhirnya mereka berharap supaya satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan untuk menjatuhkan kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambah beliau, dalam situasi kes penularan Covid-19 yang tinggi, tindakan berdemonstrasi dan berkumpul adalah satu tindakan yang tidak masuk akal.

Justeru itu, beliau memohon supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak leka dengan apa yang dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan pembangkang.

Ini kerana beliau berpendapat pembangkang sedang menggunakan strategi counterhegemony oleh Antonio Gramsci yang menurutnya berbahaya.

“Kita merasa pelik, dalam keadaan Covid-19 sedang mencanak naik, mereka boleh keluar ke jalan raya menghasut rakyat.

“Saya mohon supaya pihak kerajaan PN tidak leka dengan apa yang dibuat oleh saudara Anwar Ibrahim dan kelompok pembangkang ini kerana teori counterhegemony oleh Antonio Gramsci ini sangat berbahaya.

“Inilah yang dilakukan oleh banyak negara-negara membangun untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan, untuk menimbulkan rasa benci kepada kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -