Jangan ada ‘double standard’ himpunan langgar SOP

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas serta tidak melakukan sebarang amalan dua darjat atau double standard melibatkan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan himpunan haram baju hitam di sini, baru-baru ini.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sebarang perhimpunan yang diadakan ketika ini jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

- Advertisement -

“Bagi saya, saya mengharapkan kerajaan bertindak tegas dan tiada double standard terhadap penganjur, peserta dan sesiapa sahaja yang hadir termasuklah pemimpin pemimpin politik kerana jelas melanggar SOP.

“Sekiranya tiada tindakan segera dilakukan, saya khuatir perkara sama akan berulang kembali dalam tempoh terdekat,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, meskipun perhimpunan dibenarkan untuk diadakan bagi memberi ruang kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan perasaan, idea dan pandangan mereka, namun situasi negara yang sedang kritikal dengan krisis kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya bersetuju dengan prinsip bahawa demokrasi memberi ruang kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan perasaan, idea dan pandangan mereka termasuklah untuk berhimpun.

“Malah Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dalam Perkara 10(1)(b) memberikan kebenaran demikian.

“Namun dalam konteks negara berhadapan dengan wabak Covid-19 dan kita bertungkus-lumus memerangi wabak ini, tindakan menganjurkan perhimpunan demikian adalah tindakan tidak bertanggungjawab, mengecewakan dan menghancurkan usaha usaha frontliners yang berkerja keras siang malam untuk menangani wabak Covid 19,” ujarnya.

Katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), pemimpin pembangkang dan NGO yang terlibat di dalam himpunan tersebut seharusnya mempamerkan sikap yang wajar dicontohi serta kematangan dalam berpolitik.

“Pemimpin-pemimpin pembangkang atau NGO yang hadir juga mestilah memperlihatkan kematangan politik, jangan mempergunakan situasi demi kepentingan politik mereka ketika rakyat lain susah dan bergelut dengan kehidupan.

“Pemimpin perlu memberi contoh yang baik, bukan turut serta melanggar peraturan dan SOP yang jelas akan mengganggu usaha memerangi Covid-19,” katanya.

Menurut beliau lagi, himpunan haram berkenaan pastinya memberi kesan yang besar terhadap parti berkenaan yang telah memberikan stigma negatif terhadap perjuangan mereka yang akan dinilai oleh rakyat kelak.

“Saya yakin ramai rakyat kecewa dengan perhimpunan berkenaan ketika negara bertungkus lumus memerangi Covid-19.

“Rakyat akan menghukum pemimpin-pemimpin yang tidak memahami perasaan mereka dan kesukaran mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15),” tambahnya.

Justeru, beliau mengingatkan ahli-ahli politik agar fokus kepada usaha untuk membantu kerajaan memerangi wabak berjangkit ini dan segera keluar daripada polemik politik jijik yang mampu merisikokan nyawa rakyat.

“Cukup-cukuplah untuk sementara waktu kita berpolitik, ketepikan perseteruan politik sementara waktu, fokuskan matlamat kita membantu rakyat, membantu negara memulihkan pergelutan kesihatan yang masih lagi diusahakan oleh kerajaan dan frontliners.

“Saya berpesan, jangan kita terpengaruh dengan ajakan beberapa pemimpin pembangkang yang memperalatkan rakyat untuk kepentingan politik mereka.

“Khususnya Ketua Pembangkang hari ni yang telah banyak kali memperjudikan masa depan rakyat, malah hari ini beliau pula semakin berani memperjudikan nyawa rakyat demi kepentingan politik beliau untuk menjadi perdana menteri,” tegas beliau lagi.

Sabtu lalu, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, sejak jam 10 pagi dipercayai bagi menyertai perhimpunan yang dianjurkan Sekretariat Soladiriti Rakyat terbabit.

Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk dan replika jenazah untuk menzahirkan protes terhadap kerajaan.

Media turut melaporkan satu poster mengajak orang ramai turun ke jalanan bagi menunjukkan soladiriti terhadap rakyat tular di media sosial, pada Jumaat. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -