Himpunan pembangkang di Parlimen sekadar raih publisiti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan ahli Parlimen pembangkang berhimpun beramai-ramai untuk memasuki kawasan Parlimen dianggap bermesej politik bagi meraih publisiti.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah juga berkata, ketika negara sedang bergelut dengan penularan pandemik Covid-19, tindakan itu akan lebih memburukkan situasi semasa.

Katanya, pembangkang tidak berhasrat untuk membela rakyat, sebaliknya ‘mempermainkan’ peluang diberi semasa persidangan khas parlimen minggu lepas.

- Advertisement -

“Peluang diberi untuk membincangkan isu rakyat, sebaliknya digunakan sebagai medan untuk melepaskan geram dan membuat bising.

“Pembangkang seharusnya mengambil ruang mesyuarat khas parlimen itu sebagai jalan terbaik untuk berbincang mengenai kebajikan rakyat.

“Hari ini pembangkang cuba politikkan isu penangguhan dewan pula, cari publisiti.. itu isu yang sebenarnya.

“Ketika persidangan parlimen pun mereka tidak manfaatkan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan pada anak-anak yatim di Pusat Khidmat Dun Panchor, di sini hari ini.

Pagi tadi pembangkang berhimpun untuk memasuki bangunan parlimen yang turut disertai Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, biarpun persidangan ditangguh akibat penularan wabak.

Penangguhan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia ekoran wujud kes positif termasuk membabitkan ahli parlimen dan petugas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, ketika kerajaan bagi ruang untuk berbahas, berapa orang sahaja yang menggunakan peluang berkenaan dengan memberi cadangan kepada kerajaan.

Bagaimanapun katanya sebahagian besar pembangkang hanya bangun dan membuat bising.

“Apa tujuan kalau sekadar membuat bising dalam parlimen. Baik tidak payah buka parlimen, buang masa saja.

“Mereka asyik memohon ‘point of order’ saja. Sepatutnya hari pertama bagi kepada kerajaan dahulu, lepas itu bahaslah kalau nak bahas.

“Bagilah cadangan dan apa yang perlu kerajaan buat dan perbetulkan. Tetapi apa yang berlaku hanyalah politik semata-mata,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -