Rentas negeri, daerah punca kes Covid-19 meningkat

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mendakwa berlaku peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak di negeri ini berpunca daripada majlis keraian termasuk aktiviti merentas negeri dan daerah pada musim perayaan Aidiladha lalu.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, maklumat yang diterimanya berlaku peningkatan kerana kontak rapat dan saringan di beberapa lokaliti seluruh daerah negeri Terengganu.

“Sudah tentunya kita berasa sangat terkejut dan bimbang dengan bilangan peningkatan kes positif Covid-19 pada hari ini, yang mencecah 883 kes di seluruh negeri Terengganu.

“Ini adalah angkat tertinggi sepanjang tempoh kita berdepan dengan pandemik Covid-19. Maklumat yang disampaikan kepada saya, peningkatan ini adalah kerana pertama, berlakunya peningkatan dengan kontak rapat dan saringan di beberapa lokaliti seluruh daerah negeri Terengganu.

“Kedua, wujudnya peningkatan kes-kes gejala disebabkan penularan yang cepat dalam komuniti di negeri ini. Ketiga, berlaku peningkatan kes daripada aktiviti semasa perayaan Aidiladha yang tidak mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard).

“Majlis keraian dan majlis yang dijalankan secara sembunyi dalam masyarakat kita dan termasuklah terdapatnya aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan itu, walaupun ianya tidak dibenarkan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media, 1 Ogos lalu.

Selain itu, katanya berlaku kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster di antara mereka.

Menurut Dr Samsuri, bagi menangani masalah itu kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersama dengan penguatkuasa dari pelbagai agensi termasuklah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang mengambil langkah-langkah berikut.

“Pertama, meningkatkan aktiviti kawalan dengan meningkat saringan kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti. Susulan dari aktiviti pengesanan ini kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu yang akan datang.

“Kedua, kerajaan negeri juga mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi untuk dipercepat dan dipertingkatkan. Ketiga, pihak kerajaan negeri akan berusaha memohon penambahan vaksin untuk tujuan ini, terutamanya bagi daerah Kemaman dan Dungun,” ujarnya.

Justeru, Menteri Besar Terengganu itu turut berpesan kepada dirinya dan rakyat seluruh negeri Terengganu agar sentiasa mematuhi segala Prosedur Opersi Standard (SOP).

“Saya dengan rasa rendah diri berpesan pada diri saya dan pada anda sekalian seluruh rakyat negeri Terengganu. Pertama, jangan panik, kekal bertenang dan sentiasalah mematuhi SOP.

“Kedua, amalkan kawalan kendiri walaupun negeri Terengganu berada di fasa dua. Sekiranya, anda tiada urusan yang mustahak, terus kekal berada di rumah. Jika ada urusan penting, pastikan sentiasa menjaga pematuhan SOP yang tinggi.

“Ketiga, kita perlu mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan 3S. Iaitu mengelakkan kawasan yang ‘sesak’, ‘sempit’ dan ‘sembang’ dengan jarak yang rapat, serta mengamalkan 3W iaitu ‘wash’ kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.

“Memakai pelitup separuh muka di tempat awam jika bergejala atau ‘wear’ dan sentiasa ingat amaran daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang lebih berkongsepkan peringatan atau ‘warn’ kepada kita semua,” jelasnya.

Sehubungan itu, sebanyak 21 lokaliti di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 hingga 16 Ogos ini sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammudddin Hussein.

Sembilan lokaliti PKPD di Terengganu berada di Mukim Kuala Dungun dan 11 dalam Mukim Sura, Dungun serta satu lokaliti berada dalam Mukim Jabi, Setiu. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -