Ada pihak gentar negara hampiri kejayaan tangani COVID-19?

- Advertisement -

TELAH menjadi rutin saya saban hari untuk melihat kadar vaksinasi negara, termasuklah kadar vaksinasi dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan sekolah. Ini membantu kami dalam merencana perancangan yang terbaik di KPM. Suka atau tidak, dunia mengakui bahawa vaksin adalah antara jalan keluar daripada pandemik COVID-19 yang paling ampuh.

Kadar pemberian vaksin negara pada hari ini adalah antara yang tertinggi di dunia. Secara purata, negara kita mencatatkan jumlah pemberian vaksin melebihi 500,000 dos untuk tujuh hari yang lepas.

- Advertisement -

26 Julai 2021 : 521,923 dos sehari.
27 Julai 2021 : 553,871 dos sehari.
28 Julai 2021 : 552,701 dos sehari.
29 Julai 2021 : 556,404 dos sehari.
30 Julai 2021 : 521,097 dos sehari.
31 Julai 2021 : 519,111 dos sehari.
1 Ogos 2021  : 480,122 dos sehari

Hebat! Tahniah dan terima kasih kepada semua barisan hadapan kita di PPV seluruh negara.

Data terkini JKJAV menunjukkan, sehingga semalam, seramai 60.9 peratus populasi dewasa negara telah menerima satu dos vaksin manakala 29.7 peratus telah menerima dua dos. Peratusan penerima dos pertama sebenarnya memberi gambaran jelas kepada kita mengenai jumlah mereka yang akan menerima dos kedua dalam masa terdekat. Umumnya mereka yang menerima dos pertama akan menerima dos kedua dalam masa beberapa minggu.

Dalam hal ini, semalam YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras PICK menyatakan bahawa pada 31 Ogos ini, 50 peratus populasi dewasa akan menerima vaksin lengkap. Ini merupakan hadiah Merdeka yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia. 

Berdasarkan contoh di banyak negara, apabila peratusan vaksinasi penduduk semakin tinggi, walaupun jangkitan masih ada, tetapi jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan rapi akan menurun. Tekanan kepada kapasiti hospital khususnya di wad ICU juga akan berkurangan. Contoh yang sama dapat dilihat di Sarawak dan Labuan.

Peningkatan kes COVID-19 varian Delta ini bukan hanya berlaku di Malaysia. ini adalah satu fenomena yang memberi kesan kepada sebahagian besar negara di dunia. Oleh itu, negara-negara ini berlumba-lumba untuk meningkatkan peratusan jumlah penduduk yang divaksinasi dalam usaha membawa negara mereka keluar daripada kemelut COVID-19. Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, berdasarkan kadar vaksinasi semasa, Malaysia dijangka akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober ini.

Malaysia ternyata berada pada landasan yang tepat! Pada 31 Ogos, 50 peratus populasi dewasa divaksin dan pada bulan Oktober kita mencapai imuniti kelompok. Insya-Allah, jika kita terus teguh bergerak bersama, kita akan berjaya memacu Malaysia keluar dari kemelut ini.

Jadi, adakah tindakan kelompok tertentu yang cuba menunjukkan seolah-olah Malaysia tiada harapan untuk keluar daripada kemelut COVID-19 adalah disebabkan mereka ini takut melihat kejayaan nanti? Mungkinkah mereka fikir sekiranya kita semua berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut COVID-19 maka mereka tiada lagi perkara yang boleh dijadikan isu?

YB SENATOR DR MOHD RADZI MD JIDIN
Menteri Pendidikan Malaysia – HARAKAHDAILY 2/8/2021

Nota kaki:
Disertakan graf yang menunjukkan kadar vaksinasi bagi negara ASEAN. Jelas, Malaysia di depan mendahului negara lain. Negara Australia dimasukkan sekali sebagai rujukan.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1560866277543941/posts/2703829653247592/

- Advertisement -