Parlimen atau pentas drama?

- Advertisement -

PERSIDANGAN Khas Parlimen yang dipanggil sepatutnya digunakan untuk membincangkan isu yang sedang melanda dunia dan negara hari ini. Hari ini kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang mengancam kehidupan rakyat, ekonomi negara dan masa depan semua. 

Parlimen dibuka untuk beri peluang kepada kerajaan dan kesemua wakil-wakil rakyat berbincang dan mengemukakan pandangan yang terbaik bagi negara untuk berhadapan dengan pandemik ini yang turut mengancam negara-negara lain.

- Advertisement -

Apakah langkah dan usaha terbaik yang boleh kita ikhtiarkan selain yang telah dan sedang dilaksana kerajaan. Ini yang rakyat mahu tahu dan dengar. 32 juta rakyat Malaysia diwakili 222 wakil rakyat (2 kosong setelah meninggal dunia), mereka ini sepatutnya bercakap atas kepentingan dan bagi pihak rakyat. Bukan kepentingan kepartian dan nafsu politik masing-masing.

Malangnya apa yang kita dengar kelmarin di hari pertama persidangan sebagaimana tajuk akhbar ini adalah: ‘Drama jerit-menjerit’. Pihak pembangkang mengambil kesempatan apabila gelanggang dibuka untuk terus terjun dan terjah, maki hamun dan serang kerajaan sebab bagi mereka inilah peluang terbaik untuk melonjakkan sokongan buat mereka.

Speaker diaib dan diperlakukan, Perdana Menteri dan kabinetnya dimaki, inikah kemampuan wakil rakyat pembangkang kita? Atas kesempitan dan kesusahan rakyat mereka berterus-terusan berpolitik tanpa menyumbang barang sehabuk cadangan atau idea untuk membantu dan menyelamatkan rakyat dan negara. ‘Shame’ akhlak dan perlakuan pihak pembangkang kelmarin cukup memalukan dan menjatuhkan nama baik Parlimen Malaysia.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1561542050851792/

- Advertisement -