Henti politiking, patuhi titah Yang di-Pertuan Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP dinasihatkan agar mengambil tanggungjawab mematuhi saranan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, DAP tidak perlu menimbulkan suasana tidak tenteram yang boleh mengeruhkan lagi keadaan semasa, sehingga menjejaskan tumpuan kerajaan dan rakyat dalam mengatasi wabak Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, dalam situasi pandemik Covid-19 dan darurat hari ini, sepatutnya semua pihak memberi kerjasama penuh kepada kerajaan untuk menjayakan agenda mengatasi wabak Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan DAP Wilayah Persekutuan menawarkan bantuan guaman kepada aktivis bendera hitam yang dikenakan kompaun kerana terlibat bantahan antikerajaan di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Menurut Kamaruzaman, DAP dilihat terlalu berpolitiking sehingga mengabaikan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong sehingga menimbulkan (pandangan) yang tidak baik terhadap atau sentimen untuk sama-sama memberi fokus dalam mengatasi pandemik Covid-19.

“Sepatutnya semua pihak mematuhi titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong supaya hentikan politiking dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengatasi wabak Covid-19.

“Sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan seberapa segera, sejurus selepas Malaysia keluar daripada wabak Covid-19.

“Jadi sepatutnya semua pihak berhenti dahulu politiking, beri perhatian mengatasi wabak Covid-19 dan selepas kita bebas daripada wabak Covid-19, semua ruang demokrasi melalui Pilihan Raya Umum akan diadakan.

“Dan semua pihak yang berkepentingan dengan politik negara boleh mengambil perhatian dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -