DAP peralat orang Melayu capai cita-cita politik

Senator Ustaz Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Perhimpunan solidariti anjuran kumpulan aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (Black Malaysia) dan Himpunan #Undi18Now yang diadakan di Dataran Merdeka, di sini baru-baru ini jelas telah ‘membuka pekung di dada’ parti cauvunis DAP.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, perhimpunan itu dijadikan batu loncatan parti liberal tersebut dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui sokongan kumpulan aktivis berkenaan.

Malah di belakang kumpulan itu jelas kelihatan penglibatan pembangkang secara tidak langsung apabila DAP dikatakan sedia memberi khidmat kepada aktivis terbabit.

Advertisement

Ia dapat dilihat apabila pasukan guaman DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilapor sedia memberi khidmat pro bono kepada aktivis terbabit untuk mencabar kompaun itu di mahkamah.

Mereka juga membawa replika mayat dan 14 bendera hitam di samping mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur atas dakwaan bahawa kerajaan PN gagal membendung pandemik Covid-19.

Menurut beliau, tindakan itu jelas menunjukkan keterdesakan parti berkenaan bagi meraih kepercayaan awam melalui himpunan sedemikian demi kepentingan kepartian semata-mata.

“Kita tahu DAP dah tak mampu untuk nak ‘crowd‘ orang, DAP hanyalah mampu untuk nak mempergunakan orang-orang Melayu sahaja bagi mencapai cita-cita mereka.

“DAP hanyalah sebuah parti yang mementingkan parti perkauman mereka, parti cauvanis, mereka ini hanya nak meraih keuntungan dalam kalangan undi-undi orang bukan Melayu terutama di bandar-bandar sahaja.

“Tetapi mereka tak mampu sebab itu mereka cuba nak memperalatkan orang Melayu bagi mencapai cita-cita mereka di Putrajaya sebab itu ini yang mereka lakukan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Ustaz Idris turut menyifatkan tindakan kumpulan serta pemimpin DAP yang menyokong anjuran berkenaan sebagai sesuatu yang tidak wajar, ekoran situasi negara ketika ini yang dilanda pelbagai krisis.

Katanya lagi, DAP seharusnya bertindak matang dengan tidak melibatkan diri dengan sebarang bentuk gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, terutama melalui himpunan solidariti rakyat.

“Himpunan seperti ini tidak sepatutnya diadakan, DAP sepatutnya menjadi parti yang kononnya nak memperjuangkan soal ‘social justice‘  dan kononnya nak menegakkan demokrasi uruskanlah dengan matang dan janganlah dalam suasana macam ini masih nak berpolitiking lagi.

“Sepatutnya kita mesti bekerjasama bagi menghadapi pandemik Covid-19 ini dan kalau nak berpolitik atau berlawan sekalipun biarlah selepas daripada Covid-19 ini landai nanti,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, sokongan yang diberikan terhadap perhimpunan itu juga jelas tidak menghargai jasa serta tidak prihatin akan nasib petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memutuskan penularan Covid-19 di negara ini.

“Jika Covid-19 dah landai lepas ini tidak ada masalah nak berhimpun tetapi suasana pada hari ini kita bimbang dan kita kasihan kepada pihak-pihak frontliners yang berada di hospital, jalan raya dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, berhubung dakwaan kerajaan gagal, Ustaz Idris berpandangan konsep gagal itu tidak seharusnya diberikan kepada kerajaan persekutuan yang memerintah, tetapi kepada kerajaan negeri yang memimpin negeri masing-masing.

“Kalau gagal atas persoalan kerana bilangan kes Covid-19 meningkat, negeri mana yang meningkat covid 19? Selangor siapa memerintah? Tolong beritahu.

“Di Wilayah Persekutuan, Parlimen yang banyak menang ialah DAP (PH). Kita tak nak berpolitiklah di atas kenapa Selangor yang diperintah oleh PH itu tinggi kes Covid 19, bab ini kita taknak berpolitik.

“Tapi kalau atas alasan kerajaan gagal itu, kita boleh menuding jari kenapa negeri yang diperintah oleh PH meningkat kes Covid-19,” katanya.

Menurut Ustaz Idris lagi, dakwaan kerajaan gagal sengaja dimainkan DAP bagi mensensasikan kontroversi supaya usaha mereka bagi menakluk Putrajaya tercapai.

Hakikatnya kata beliau, kerajaan sangat prihatin apabila program vaksinasi sedang giat dijalankan di Lembah Klang serta Selangor dan akan mencapai jumlah suntikan lebih 300,000 dalam sehari.

“Mereka bukan nak sangat bekerjasama dalam hal untuk menangani pandemik Covid-19 ini sebab itu apa tindakan yang mereka lakukan ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar dilakukan.

“Mereka runsing kejayaan ini akan menyebabkan mereka gagal, mereka memang nak supaya soal untuk nak lawan Covid-19 ini dilihat gagal untuk mereka nak capai cita-cita politik mereka, ini orang panggil politik bebal.

“Politik bebal yang nak menyusahkan rakyat untuk ambil kesempatan dari apa yang berlaku sebab itu ini parti yang kita kena tolak, rakyat malaysia kena tolak para pemimpin parti-parti politik yang seperti ini pada masa akan datang,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2021