Polis keluar 12 kompaun langgar SOP Aidiladha

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan Polis Kelantan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengadakan jamuan makan dan melaksanakan ibadah korban secara persendirian pada Selasa dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah berkata, dua kesalahan dilapor kerana melaksanakan ibadah korban tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

- Advertisement -

Katanya perlanggaran itu berlaku dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Lepah di Pasir Puteh pada Selasa lepas.

“Sebanyak lapan kompaun dikeluarkan pada 20 Julai, membabitkan dua kesalahan berkenaan, satu kesalahan mengadakan jamuan makan, manakala lima kompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa surat kebenaran.

“Manakala empat kompaun lagi dikeluarkan semalam, membabitkan kesalahan merentas daerah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata dalam tempoh dua hari perayaan Aidiladha (20 dan 21 Julai), sebanyak 176 kenderaan yang cuba merentas daerah diarah berpatah balik berikutan gagal mengemukakan surat kebenaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Mengenai perkembangan aliran trafik di setiap sempadan Kelantan, beliau berkata keadaan terkawal dan lancar, malah tiada pertambahan kenderaan setakat ini. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -