Bekas juara latih bakat baru badminton Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Persatuan Badminton Kelantan (PBK) dengan gandingan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan bakal menggunakan pengalaman nama besar seperti Muhammad Hafiz Hashim dan Muhammad Roslin Hashim bagi melahirkan bakat baru sukan tersebut.

Presiden PBK, Dr Naharuddin Hashim berkata, langkah itu bagi melatih bakat baru seawal usia 14 tahun sekaligus melahirkan pemain badminton berprestij yang mampu memberi sumbangan kepada arena sukan terbabit dalam dan luar negara.

“Dua bekas jaguh adik beradik ini, Hafiz dan Roslin merupakan prospek, jurulatih sekarang pun bekas pemain kita yang lama, insya-Allah kita akan cuba mendapatkan kedua-dua bekas pemain kebangsaan untuk menjadi jurulatih utama kita.

- Advertisement -

“Kita masih lagi dalam proses perbincangan antara kedua-dua pihak, perbincangan peringkat terakhir dan kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Terdahulu beliau turut hadir pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan sukan kepada dua pemain badminton kelahiran Kelantan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Mereka ialah Muhammad Haikal Nazri berasal dari Tawang, Bachok berjaya menjuarai tempat pertama badminton perseorangan dan regu bersama Wan Arif Wan Junaidi pada Terbuka Antarabangsa Austria 2021 baru-baru ini.

Sementara Muhammad Zulfatihi Jaafar memperolehi tempat ketiga pada 12th Fazz International Athletics Championship – Dubai 2021 World Para Athletics Grand Prix juga dalam sukan sama, berjaya mengharumkan nama negara.

Naharuddin berkata, pihaknya akan melancarkan projek emas 2026 sebagai persediaan pemain badminton Kelantan, selepas negeri itu dipilih sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-22 pada tiga tahun akan datang.

Selain itu katanya, PBK dan MSN Kelantan sedang membuat perancangan rapi bagi pembangunan bakat baru seawal usia 14 tahun dengan memperbanyakkan kejohanan bagi pencarian bakat baru sebagai persediaan Sukma 2026.

“Kita akan melancarkan projek emas 2026 Sukma yang Kelantan menjadi tuan rumah dan InsyaAllah kita akan berusaha untuk jadikan sukan badminton sebagai lubuk emas bagi Kelantan pada Sukma nanti.

“Kini kita sedang berbincang dengan MSN untuk melancarkan projek ini tidak lama lagi di samping mengambil jurulatih dalam kalangan nama-nama besar serta pembangunan bakat baru pada usia 14 tahun bagi mewakili Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2021

- Advertisement -