Pelan Pemulihan Negara: Cadangan PAS untuk kluster kesihatan

- Advertisement -

SATU perbincangan di antara Kementerian Kewangan dan wakil PAS telah diadakan pada 13 Julai jam 4.00 petang di Putrajaya. Berikut ialah hasil perbincangan dan cadangan daripada PAS untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Kabinet khusus untuk kluster kesihatan.

Selepas diumumkan untuk PKP 3.0 pada 28 Mei 2021 dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun 2021, telah kelihatan peningkatan jangkitan kes di seluruh negara sehingga melepasi bilangan 9,000 kes sehari. Terkini ialah 11,079 kes pada 13 Julai 2021

Negeri Selangor dan Kuala Lumpur telah menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah kes harian seluruh negara sejak beberapa minggu lalu. Pada masa yang sama sektor ekonomi negara tertumpu di situ. Walaupun ada negeri yang jumlah jangkitannya kecil tetapi dunia hanya melihat jumlah keseluruhan negara.

- Advertisement -

Kami juga mengambil maklum momentum proses vaksinasi kebangsaan semakin meningkat sehingga Malaysia merupakan 10 negara terbaik di dalam melakukan vaksinasi massa. Terkini, kita telah berjaya melakukan 421,479 dos vaksinasi harian semalam dan Negeri Selangor sendiri telah memberi hampir 100,000 dos pertama dan kedua iaitu yang tertinggi di Malaysia.

Namun sehingga kini, kita juga maklum, negeri yang menyumbang lebih 50 peratus kes harian Covid-19 hanya dapat melakukan 24 peratus vaksinasi sehingga kini.

Justeru, kami cadangkan satu pendekatan ‘Smart Containment’ iaitu satu langkah yang lebih agresif yang  perlu diberi tumpuan di Selangor dan Lembah Kelang samada dari sudut penguatkuasaan PKPD mahupun vaksinasi harian.

Kami cadangkan supaya pendekatan berfokus perlu dilakukan disitu dengan menambah jumlah vaksinasi harian di Selangor dari 100,000 sehari ke sekurang-kurangnya 250,000 sehari. Sekiranya ini dapat dicapai, tahap 80 peratus vaksinasi keseluruhan di Selangor dapat dicapai dalam dua minggu dan seterusnya mengurangkan kes harian negara secara tidak langsung.

Fasa pemberian vaksin di bawah program PICK perlu anjal dan perlu diubahsuai mengikut kadar infeksi di sesebuah negeri. Walaupun vaksinasi pekerja melalui program PIKAS hanya bermula di Fasa 4, namun seharusnya ia dipercepatkan khusus di negeri2 seperti Selangor.

 Segala sumber samada personel atau aset perlu digunakan untuk tujuan tersebut.

Langkah ini dijangka dapat mengembalikan pelan pemulihan negara ke fasa kedua di hujung bulan Julai dengan jumlah kes kurang 4,000 sebulan.

Kes Covid-19 yang mendadak juga menyebabkan hospital-hospital kerajaan agak tepu.  Kelihatan tiada kordinasi di antara hospital milik Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan. Justeru kami merasakan perlunya ada ‘central command’ dengan melibatkan semua aset dan guna tenaga dari semua yang terlibat.

Ini melibatkan juga sukarelawan yang bertugas di pelbagai peringkat. Tiada tadbir urus yang berpusat yang menjaga kebajikan mereka. Malah kebanyakan mereka tidak mendapat apa-apa bayaran mahupun vaksinasi terlebih dahulu. Semalam kita diberitakan dengan seramai 204 petugas di PPV Shah Alam dijangkiti Covid-19. Ini memberi impak negatif kepada kerajaan.

Kami cadangkan agar kerajaan sekurang-kurangnya memperuntukkan elaun makan kepada para sukarelawan ini. Kami juga ingin mencadangkan agar semua sukarelawan diberi suntikan vaksinasi sebelum mereka bertugas.

Kami juga mencadangkan agar Kerajaan menggunakan teknologi virtual terkini di dalam kuarantin kendiri bagi CAT 1 dan CAT 2 pesakit Covid-19. Penggunaan gelang untuk kuarantin kelihatan agak primitif. Penggunaan Mysejahtera perlu diperluaskan dengan merubah status secara automatik apabila disahkan oleh makmal. Pergerakan pesakit diawasi dengan GPS melalui aplikasi mudah alih yang wajib diaktifkan. Arahan perlepasan kuarantin juga tidak lagi memerlukan pegawai perubatan. Cukup dengan Mysejahtera.

Bagi membuka destinasi pelancongan pasca Covid, kami mencadangkan supaya Langkawi dipilih sebagai projek ‘pilot untuk Travel bubble’. Kedudukannya yang berhampiran dengan Selatan Thailand yang sudahpun membuka aktiviti pelancongannya boleh mendapat manfaat limpahan pelancong ke Langkawi. Keseluruhan 70,000 penduduk di Langkawi perlu divaksinasi dan kemasukan pelancong perlu mengikut SOP antarbangsa yang telah digunakan oleh negara-negara maju yg lain. Penggunaan ujian saringan menggunakan air liur dengan penghasilan keputusan yang pantas boleh digunakan sebagai syarat masuk dan keluar dari Pulau Langkawi. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -