Isu vaksin untuk bakal Dhuyufur Rahman

- Advertisement -

BANYAK pula soalan Pak Cik Mak Cik di PPV berkenaan vaksin Sinovac. Kelmarin kecoh dalam media bahawa Arab Saudi telah luluskan penerima vaksin COVID-19 jenama Sinovac dibenarkan masuk ke dalam negara mereka terutamanya bagi melaksanakan Haji atau Umrah. Fuh, lega.

Sepatutnya mana-mana negara tidak perlulah terlalu birokrasi untuk memberi kebenaran kepada mana-mana penerima vaksin yang telah diluluskan oleh WHO masuk dalam negara mereka. Dalam suasana pandemik ini pelbagai persepsi boleh timbul. Tetapi ada juga yang tak puas hati, katanya lulus dengan syarat kena cucuk juga vaksin booster (tambahan) sama ada Pfizer, AztraZeneca atau Jensen.

- Advertisement -

Tuan puan, pada masa ini keutamaannya apa? Kita nak kita semua keluar dari pandemik dengan segera. Pelan Pemulihan Negara menjangkakan September nanti kita akan keluar dari wabak COVID-19 dan kembali kepada suasana normal. Mungkin lepas itu sudah tidak perlu dah vaksin.

Pada masa ini nak lepasi tol Gombak pun susah. Apatah lagi nak ke Makkah! Bagi saya vaksin yang terbaik masa ini adalah apa yang terawal ditawarkan kepada kita untuk datang suntik. Tak perlu bertanya lebih atau persoalkan polisi negara orang. Walaupun ya, isu ini akan kena mengena dengan kita sebagai umat Islam yang akan mengerjakan ibadah Haji atau Umrah, tetapi bila? Adakah nama kita dah naik untuk tunaikan Haji atau Umrah? Tidak pun. Buat waktu ini tak boleh pergi pun lagi.

Andai kata nama sudah sampai seru sebagai Duyufur Rahman sekalipun, apa salahnya untuk dapatkan vaksin booster seperti yang disyaratkan? Tiada masalah besar pun. Bahkan banyak kajian telah dilakukan di beberapa negara percampuran dua jenis vaksin itu tidak bahaya, malah keberkesanannya tetap sama.

Contohnya Bahrain telah meluluskan pemberian booster Pfizer bagi penerima vaksin Sinopharm. Tindakan sama juga dibuat oleh Dubai dan UAE. Di Bhutan, Perdana Menterinya mengisytiharkan penggunaan Pfizer selepas dos 1 AstraZeneca (AZ). Ini kerana pengeluaran AZ dari India terhad. Walaupun Bhutan adalah negara paling berjaya mengawal COVID-19 dengan jumlah vaksinasi melebihi 90 peratus, tetapi mereka tetap berusaha memberikan vaksin sepenuhnya kepada rakyat mereka.

Banyak lagi negara yang meluluskan pemberian vaksin berlainan ini seperti Kanada, Sepanyol, Itali, Korea, Thailand, China dan Rusia. Semuanya berdasarkan kajian. Antaranya kajian dari Spanish menyatakan bahawa ianya berkesan dan selamat diberikan. Nak ke tak nak sahaja.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 14/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/546572572048737/posts/4210460005659957/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -