PH yang berjanji, tetapi PN tunaikan – Tarmizi

Muhyiddin bebaskan belenggu peneroka FELDA, pacu visi jadi entiti perladangan terkemuka dunia

- Advertisement -

KUANTAN: Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melupuskan sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah melegakan beban yang sekian lama melilit pinggang golongan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, jika hal tersebut terus dibiarkan tanpa inisiatif dari kerajaan, dikhuatiri pada masa akan datang ianya akan menjadi liabiliti terpaksa ditanggung generasi pewaris FELDA.

- Advertisement -

“Akhirnya, ’10 Janji 100 Hari Manifesto PH’ dalam PRU14 dahulu untuk melupuskan hutang FELDA yang gagal ditunaikan, tetapi direalisasikan dengan jayanya oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin,” ujarnya merakam penghargaan.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang pada dasarnya bersetuju dengan cadangan pihak FELDA untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

Berita gembira yang telah sekian lama membelenggu dan begitu diharapkan penyelesaian untuk membebaskan peneroka dari cengkaman itu diumumkan Muhyiddin sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan, Rabu lalu.

“Keputusan kerajaan ini adalah manifestasi perjuangan PAS selama ini untuk membantu setiap kelompok rakyat di negara ini khususnya warga peneroka.

“Sejak FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956, cerita mengenai hutang peneroka sentiasa menjadi tajuk hangat dan PAS mengambil isu ini sebagai salah satu prioriti untuk diselesaikan.

“Perjuangan membela nasib dan hak rakyat bukan ‘magik’ yang boleh menelurkan hasil sekelip mata. Ia sebuah perjuangan panjang bersama limpahan keringat dan air mata peneroka.

“Seperti kata Perdana Menteri, hutang ini harus diperbetulkan dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ agar FELDA kembali bangkit,” ujar beliau yang juga ADUN Panching. 

Tarmizi melihat pengumuman itu telah menyuntik semangat warga peneroka di seluruh negara untuk komited bekerja bersama-sama membantu kerajaan merealisasikan visi FELDA sebagai entiti perladangan terkemuka dunia.

Katanya juga, PAS Pahang akan terus setia berada di belakang kerajaan sebagai ‘check and balance’ serta sedia mendengar suara warga peneroka terhadap isu-isu semasa dan tertunda para perintis dan pewaris mereka. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -