Almarhum Dr Mohamed Morsi pemimpin yang dizalimi

PADA 3 Julai 2013 adalah tarikh Almarhum Dr Mohamed Morsi, bekas Presiden Mesir yang telah dipilih secara demokrasi digulingkan dari jawatannya dalam satu rampasan kuasa oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Presiden Mesir ketika ini, Abdel Fattah Al Sisi.

Advertisement

Siapa pun tidak menyangka yang Abdel Fattah Al Sisi, Menteri Pertahanan yang dilantik Allahyarham Dr Mohamed Morsi ketika menjawat jawatan Presiden Mesir berpaling tadah menggulingkannya.

Sejak dari itu, demokrasi di bumi Mesir telah lenyap berkemungkinan selama Abdel Fattah Al Sisi memerintah Mesir atau berkemungkinan lebih lama lagi jika sekutu-sekutu Abdel Fattah Al Sisi meneruskan kesinambungan pemerintahannya.

Sejak dari mula pemerintahan Abdel Fattah Al Sisi hingga ke saat ini, kita telah mula melihat pemerintahannya lebih ke arah pemerintahan “autokrasi” dan memberi kesan yang mendalam terhadap setiap lapisan masyarakat di bumi Mesir.

Untuk itu, mari kita imbas kembali rentetan peristiwa selepas revolusi Mesir 2011, saat perlantikan Almarhum Dr Mohamed Morsi menjadi Presiden Mesir hingga saat beliau digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera Mesir yang diketuai oleh Abdel Fattah Al Sisi.

Pasca Revolusi Mesir 2011: Selepas tumbangnya regim Hosni Mubarak, Mesir telah ditadbir oleh “Military Council” yang diterajui oleh tentera Mesir di mana Abdel Fattah Al Sisi adalah salah seorang dari anggota “Military Council“ tersebut.

Jun 2012: Military Council atau Majlis Suruhanjaya Tentera Mesir mentadbir Mesir sehingga pilihan raya baru diadakan selepas membubarkan Parlimen Mesir.

Setelah dibubarkan Parlimen Mesir dan diberikan tarikh untuk diadakan pilihan raya baharu di Mesir, banyak parti politik dan calon-calon perseorangan telah menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam pilihanraya tersebut termasuk Ikhwanul Muslimin dan Allahyarham Dr Mohamed Morsi melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (Freedom and Justice Party).

Namun Abdel Fattah Al Sisi yang ketika itu menjadi anggota “Military Council” menentang hasrat Ikhwanul Muslimin untuk meletakkan calon bertanding jawatan Presiden Mesir dengan menyatakan bahawa apa yang berlaku di Mesir ketika itu dan cabaran yang bakal dihadapi adalah terlalu besar untuk sebuah organisasi seperti Ikhwanul Muslimin.

30 Jun 2012: Almarhum Dr Mohamed Morsi, calon Parti Kebebasan dan yang merupakan sekutu kepada Ukhwanul Muslimin memenangi pilihan raya Presiden Mesir yang pertama kali dijalankan secara demokrasi. Pilihan raya tersebut dipantau oleh jawatankuasa bebas yang terdiri dari negara kuasa-kuasa besar dunia turut mengakui bahawa pilihan raya tersebut dijalankan dengan telus dan adil.

12 Ogos 2012: Abdel Fattah Al Sisi telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan Mesir oleh Dr Mohamed Morsi. Beliau juga telah dilantik menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir di mana beliau mengetuai keseluruhan angkatan tentera Mesir.

Ogos 2012: Perdana Menteri Mesir Hashem Qandil telah diserang oleh sekumpulan rakyat Mesir ketika menghadiri pengkebumian 16 anggota tentera Mesir yang terbunuh di Sinai. Majlis tersebut tidak dihadiri oleh Dr Mohamed Morsi pada saat-saat akhir di mana ia telah mula menimbulkan persengketaan antara Dr Mohamed Morsi dan Abdel Fattah Al Sisi.

Abdel Fattah Al Sisi kemudiannya meminta Dr Mohamed Morsi supaya menuntut Hamas menyerahkan anggotanya yang terlibat dalam insiden tembakan yang menyebabkan 16 anggota tentera Mesir terbunuh di Sinai. Dr Mohamed Morsi enggan berbuat demikian dan meminta Abdel Fattah Al Sisi supaya menemui pemimpin Hamas untuk berunding namun Abdel Fattah Al Sisi tidak berbuat demikian.

November 2012: Abdel Fattah Al Sisi menggesa pemimpin parti-parti politik dan juga orang-orang kenamaan di Mesir membincangkan tentang perlembagaan baharu Mesir yang diumumkan oleh Dr Mohamed Morsi di mana ia telah membangkit demonstrasi di seluruh Mesir. Dalam masa yang sama, Dr Mohamed Morsi juga telah mengarahkan Abdel Fattah Al Sisi agar menamatkan operasi ketenteraan di Sinai.

Januari 2013: Abdel Fattah Al Sisi telah menemui pelajar-pelajar di Akedemi Tentera Mesir dan buat pertama kalinya berucap menyatakan keadaan yang menimpa Mesir ketika itu dan menjelaskan bahawa tentera Mesir adalah neutral dan tidak memihak. Beliau turut menyatakan bahawa Dr. Mohamed Morsi adalah salah satu pihak yang terbabit dalam konflik ketika itu.

Februari 2013: Khabar angin telah bertiup kencang di Mesir bahawa Abdel Fattah Al Sisi telah dilucutkan dari jawatannya. Sumber dari Tentera Mesir ketika itu memberitahu bahawa pegawai-pegawai kanan Tentera Mesir berkata mereka tidak akan menjadi alat kepada kerajaan dan mana – mana kebocoran maklumat adalah umpama bermain api.

April 2013: Tentera Mesir telah meluaskan pelan darurat di seluruh Mesir sesuai dengan tanggungjawab yang dipikulnya untuk menjaga keselamatan Mesir hingga dimasukkan Port Said yang terletak di Terusan Suez di bawah pelan darurat tersebut.

Selepas Dr Mohamed Morsi melakukan lawatan rasmi ke Sudan, Abdel Fattah Al Sisi telah mengarahkan Ketua Tenteranya pergi ke Khartoum, Sudan untuk mengesahkan bahawa tentera Mesir tidak akan menyerahkan Shalateen dan Hala’ib Traingle berikutan pertikaian sempadan antara Mesir dan Sudan.

Jun 2013: Abdel Fattah Al Sisi telah membina hubungan baik serta mengenali orang-orang kenamaan dan terkemuka di Mesir untuk menguatkan pengaruhnya. Malah Abdel Fattah Al Sisi ketika itu turut mengeluarkan amaran “Tentera Mesir ketika ini adalah seperti api. Usah bermain dengannya dan usah juga menentangnya”.

Dalam satu temuramah dengan BBC Radio selepas berlakunya rampasan kuasa, Mejar Jeneral ( B ) Ayman Salama mendedahkan bahawa pertikaian antara Dr Mohamed Morsi dan Abdel Fattah Al Sisi yang memuncak beberapa bulan sebelum berlakunya rampasan kuasa adalah disebabkan keengganan Dr Mohamed Morsi untuk menutup terowong yang menghubungkan Semenanjung Gaza dan Sinai.

Bagi Dr Mohamed Morsi, terowong tersebut merupakan tali hayat buat penduduk Semenanjung Gaza manakala buat tentera Mesir, terowong tersebut menjadi ancaman terbesar hubungan Mesir dengan negara haram Israel.

Dalam temuramah dengan Associated Press, beberapa pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan agensi perisikan Mesir memberikan gambaran tentang ketegangan hubungan antara Dr Mohamed Morsi dan Abdel Fattah Al Sisi di mana Abdel Fattah Al Sisi cukup marah apabila Dr Mohamed Morsi menyatakan bahawa beliau adalah pemerintah tertinggi tentera Mesir.

Bagi Abdel Fattah Al Sisi, kenyataan tersebut adalah salah dan Dr. Mohamed Morsi telah telah melangkaui bidang kuasanya serta mampu menghuru-harakan negara. Disebabkan itu, Abdel Fattah Al Sisi kerap kali enggan mematuhi arahan Dr Mohamed Morsi.

30 Jun 2013: Dua pegawai kanan Dr Mohamed Morsi memanggil Panglima Tentera Darat Kedua Mesir dan menawarkan jawatan Menteri Pertahanan kepada beliau. Namun sebaliknya Panglima Tentera Darat Kedua tersebut melaporkannya kepada Abdel Fattah Al Sisi di mana kemudiannya beliau bertekad meneruskan rancangannya untuk melakukan rampasan kuasa.

3 Julai 2013: Dr. Mohamed Morsi digulingkan sebagai Presiden Mesir. Penyokong Abdel Fattah Al Sisi menyatakan rampasan kuasa tersebut sebagai revolusi dan Dr Mohamed Morsi kemudiannya dipenjarakan. Selepas berlakunya rampasan kuasa, Abdel Fattah Al Sisi menyatakan bahawa pengawai kanan tentera Mesir telah meragui banyak dasar dan polisi-polisi ketika Dr Mohamed Morsi menjadi Presiden.

Mengapa Tentera Mesir merasakan bahawa menggulingkan Dr Mohamed Morsi perlu dilakukan

Tentera Mesir sejak sekian lama telah menguasai Kerajaan Mesir, satu legasi sejak rampasan kuasa pada tahun 1952. Pegawai-pegawai kanan tentera Mesir telah menguasai hampir seluruh Mesir dengan mendapat banyak faedah ekonomi daripadanya.

Menurut laporan yang diterbitkan Washington Post, hampir 60 peratus ekonomi Mesir dikuasai oleh tentera Mesir, di mana pihak tentera mempunyai peruntukan rahsia dan pengecualian cukai daripada keuntungan yang tidak dinyatakan daripada perniagaannya.

Negara-negara Teluk menyokong rampasan kuasa Abdel Fattah Al Sisi dengan pembiayaan berbillion dollar kerana merasakan bahawa kejayaan Ikhwanul Muslimin adalah ancaman kepada kedudukan mereka. Ia adalah satu harga kecil yang perlu dibayar demi untuk mengekalkan kekuasaan mereka dan mereka juga telah mula melancarkan kontra-revolusi di seluruh negara-negara Arab.

Pada November 2012, Dr Mohamed Morsi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Semenanjung Gaza apabila diserang regim zionis Israel. Dr Mohamed Morsi telah membuka pintu sempadan Rafah dan telah memanggil pulang Duta Mesir dari negara haram Israel serta menghantar delegasi kerajaan Mesir ke wilayah Palestin yang diketuai oleh Perdana Menteri Mesir.

Dr Mohamed Morsi telah melawat Sinai sebanyak 4 kali dan memberikan tumpuan pembangunan di kawasan tersebut. Dr Mohamed Morsi juga telah mengadakan rundingan dan dialog dengan kumpulan bersenjata di Sinai untuk mengelakkan pertumpahan darah tetapi tentera Mesir lebih berminat untuk mencetuskan lebih banyak konfrantasi.

Pemilihan Dr Mohamed Morsi, seorang ahli Ikhwanul Muslimin sebagai Presiden Mesir adalah satu manifestasi yang amat bahaya dalam perubahan demografi geopolitik di Asia Barat berdasarkan kegusaran regim zionis Israel serta menjadi ancaman terhadap perjanjian damai Mesir-Israel. Brigadier Jeneral tentera regim zionis Israel Alyeh Eldad mengakui bahawa regim zionis Israel berkerja di sebalik tabir untuk menggulingkan Dr Mohamed Morsi dan memainkan peranan utama dalam rampasan kuasa pada tahun 2013.

Abdel Fattah Al Sisi yakin beliau mendapat sokongan di belakang tabir dari Kesatuan Eropah, Rusia dan paling utama Amerika Syarikat jika beliau berjaya menggulingkan Dr Mohamed Morsi. Kesemua negara terbabit tidak menghiraukan rampasan kuasa tersebut malah tidak mengelarkannya rampasan kuasa tetapi sebaliknya seolah-olah menyebut “ia adalah satu pemindahan kuasa secara damai”.

Golongan sekular di Mesir memberikan gambaran revolusi kepada rampasan kuasa terbabit dan mempromosikannya di dalam dan luar Mesir melalui personaliti terkenal di media massa Mesir yang mempunyai pengaruh yang cukup besar di kalangan rakyat Mesir.

Begitu pengakhiran sebuah demokrasi di Mesir di mana seorang presiden yang telah dipilih oleh rakyat Mesir melalui sistem pilihan raya telah digulingkan hanya kerana kebendaan, kuasa dan cenderung menjadi talihayat regim zionis Israel.

Semoga Almarhum Dr Mohamed Morsi diterima segala amalan dan kebajikannya, diampunkan dosa-dosanya dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Al Fatihah.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 10/7/2021