Guna deria, akal untuk lihat kebenaran

- Advertisement -

SEJAK beberapa hari lalu, rakyat Malaysia dipaksa menelan hidangan politik caca marba yang memualkan oleh sebahagian pelakon politik Malaysia. Masih seperti dahulu, walau dalam keadaan kemurkaan Allah yang bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada dunia, ancaman Allah melalui COVID-19 ini, pelakon-pelakon politik ini tidak menunjukkan kegentaran mereka.

Ketika bantuan didakwa kurang, mereka membingitkan telinga konon kerajaan tidak prihatin. Ketika sampai bantuan, dituduh pula berlaku ketidak adilan. Sewaktu ditunjuk, diusahakan dan dibuktikan ia diberikan kepada semua yang terkesan, mereka minta lebih lagi. Dan apabila diberikan lebih, mereka mahu menjatuhkan kerajaan pula dengan cara yang mereka anggap tidak demokratik dahulu, mengambil Ahli Parlimen lawan.

- Advertisement -

Inilah sikap mereka. Walau berapa banyak kempen yang mereka lakukan, konon atas nama cakna rakyat, ia tidak dapat menyembunyikan niat sebenar, mahu mengalungkan jawatan tertinggi negara kepada ketua mereka yang sudah terlalu lama menunggu. Rakyat tidak patut percaya lagi kepada cerita rekaan mereka. Mereka lakukan ini antara lainnya juga adalah kerana mahu menutup kelemahan pengurusan mereka berkaitan COVID-19. Dilihat kredit banyak diperolehi pemerintah, mereka akan segera berbuat onar.

Dengan kesihatan Perdana Menteri (PM) yang dikatakan kurang memuaskan, tekanan kepada beliau, diperbanyakkan lagi. Tiada lagi sikap kemanusiaan sepertimana Sallehuddin al-Ayubi yang menghentikan perang sementara kerana Richard The Lion Heart, lawannya itu sedang sakit. Malah diziarahinya juga. Mungkin menganggap inilah waktu yang sesuai bagi menyerang, maka mereka teruskan juga demi suatu cita-cita usang yang sudah lama terpendam.

Langkah sumbang mereka ini, boleh mengancam nyawa rakyat. Kes semakin meningkat naik dengan banyak. Rakyat semakin bosan terutama di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Ada mulut yang wajib diberi makan, ada otak yang mesti disuapkan ilmu, ada hutang yang perlu dibayar, ada keluarga yang memerlukan tempat tinggal setelah dihalau keluar. Namun semua ini tiada dalam agenda mereka. Pujuk mereka, nanti aku menjadi Bendahara, akan ku bela nasib mu semua rakyatku. Janji yang sekian lama, masih belum dan gagal ditunaikan, dibuka pula janji baharu.

Bagi rakyat yang merasa kecewa, jika tiada pegangan agama, maka jalan mudah akan mereka cari. Denai-denai dosa ditelusuri mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup. Tidak mustahil juga, hayat mereka diakhiri kerana tidak mahu menanggung beban. Jika benar pembangkang prihatin dengan masalah rakyat, kenapa tidak mulut mereka dikunci sementara ini, kerja bersama Kerajaan PN bagi melapangkan kesusahan marhaen? Sebaliknya yang terjadi, kempen prihatin dilancar yang disertai agenda politik mereka.

Jelas, mereka melihat peluang, lalu mereka ingin membalas dendam, merampas kembali apa yang mereka rasakan hak mereka. Sedangkan ketua mereka dahulu yang melepaskan jawatan itu kepada penggantinya yang sebenarnya sewaktu itu, masih dalam pakatan yang sama. Tetapi ada hati tidak rela, kerana yakin dan percaya bahawa diri yang satu itu sahajalah yang layak menjadi ketua. Bukan orang lain. Terima kasih kepada mantan ketuanya dahulu yang mengorak langkah itu, tidak memberikan jawatan PM kepadanya.

Dendam tidak akan habis, nasib rakyat diperjudikan. Nafsu menguasai diri, malah menggunakan kumpulan yang dianggap musuh ketatnya dahulu sebagai sokong untuk dia dinaikkan. Malangnya, sokong itu membawa rebah. Dan rebahnya itu sungguh mengaibkan, hasil dari kerja tangannya sendiri. Dia lupa dahulu, kumpulan lamanya itu teruk berpecah angkara dia. Kelihatan, pisang tidak berbuah kedua kalinya.

Allah memberikan mata untuk kita melihat, fikiran untuk kita menapis sesuatu dan pancaindera yang lain sebagai alat bantuan tambahan. Semua ini digabungkan penggunaannya dengan al-Quran dan Hadis, maka akan timbullah cerita kebenaran. Oleh sebab itu, PAS mendiamkan diri mereka. Hanya dengan kenyataan mudah dan telus, Presiden PAS teguh menyokong PM yang ada sekarang.

Bukalah mata hati anda semua. Keberadaan PAS dalam Kerajaan PN ini adalah kerana mahu menyatukan agama dan bangsa kita dan menjamin keselamatan agama dan bangsa lain yang bernaung di bawah pemerintahannya. Pastinya diakui bahawa ia bukanlah Kerajaan Islam yang tulen, tetapi menyatukan sesama Islam adalah satu juzuk penting yang sangat ditekankan Islam. Dan dengan memahami keadaan yang jika tidak bergabung, menyebabkan kumpulan pembenci Islam akan naik, maka ini pilihan yang terbaik.

Walau sudah banyak fitnah yang dilemparkan kepada PAS dan semuanya palsu. Termasuk juga rekod pentadbiran PAS yang semenjak dahulu tiada rasuah, mengesahkan PAS bukan hanya penumpang biasa dalam PN. Pencapaian Menteri-menteri PAS bagi portfolio masing-masing menjadikan kad laporan mereka cemerlang. Rakyat mendapat hasil yang baik dari kerja buat mereka ini semua.

PAS tetap berdoa bagi Kerajaan PN ini kekal dengan kebaikan dan akan bertambah baik lagi di masa hadapan. PAS di semua peringkat terus membantu, bekerja dan terbukti menjadi sebahagian daripada kebaikan ini. Ada pahala dalam gerak kerja ini yang dicari PAS. Kami patuhi arahan Presiden pertahankan PN, perkukuhkan MN. Diharap parti dalam MN juga menghargai usaha PAS ini dengan tidak menyerang PN. Simpanlah niat mahu bertarung sesama sendiri. Fikirkan agama dan bangsa kita.

MOHD NASIR ABDULLAH
10 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 10/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1295779460/posts/10225068700846772/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -