Berpolitik biar matang jangan ikut nafsu

- Advertisement -

RAKYAT memang sedang tertekan susah menghadapi kesan dari penularan pandemik COVID-19. Berbagai perintah sekatan dan larangan cukup mengganggu kehidupan dan aktiviti mereka namun ianya terpaksa dihadapi jua demi memberi ruang pada kerajaan melaksanakan pelannya.

Dalam terbeban rakyat terus beri kerjasama dengan harapan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berjalan dapat tercapai dan sasaran melahirkan imuniti berkelompok menjelang suku keempat 2021 akan berjaya.

- Advertisement -

Semoga angka mereka yang menerima vaksin terus meningkat dan rakyat Malaysia akan terlindung dan kehidupan dapat kembali normal. Kerana itu tidak berhati perut dan tidak berakal sungguh mereka yang mahu mencuri kesempatan merancang menjatuhkan kerajaan di saat kritikal ini. 

Berpolitik biar bijaksana, bijak di sini dan bijak di sana. Jangan kerana marahkan pijat habis kelambu rentung dibakar. Ini bukan masanya berpolitik atau memaksa tukar kerajaan. Ini masanya semua pihak ketepikan agenda dan nafsu politik masing-masing serta beri tumpuan terhadap memulihkan negara dan masa depan rakyat.

Atas dasar ini saya cukup puji kematangan politik mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak. Walau beliau vokal mengkritik kerajaan tetapi kritikannya rata-rata membina dan bukannya kerana dendam atau hasad sebagaimana orang lain.

Kata beliau: “Adakah masalah utama negara ini akan selesai sekiranya kerajaan hari ini diganti dengan sebuah lagi kerajaan tidak stabil …..”

Biarlah PPN ini dilaksanakan. Jika diizinkan Allah semua kembali stabil penghujung tahun ini bolehlah timbang-timbang membubar Parlimen dan dipanggil PRU. Sehingga itu sabar dan bersama kita membantu menjayakan peperangan bersama melawan COVID-19 ini.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 5/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1546085649064099/

- Advertisement -