Pertandingan E-sport percepat proses pendigitalan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjur pertandingan E-Sport Uni-League yang diadakan secara maya bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Pertandingan itu dianjur Pusat Sukan UMK dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUMK) diadakan dalam situasi normal baharu berikutan penularan pandemik Covid 19.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, penganjuran kali ini disertai 38 pasukan bagi kategori PUBG dan 29 bagi kategori MLBB melibatkan 9 fakulti.

- Advertisement -

Katanya, jumlah keseluruhan pelajar melibatkan diri sebagai peserta dalam e-sport bagi kategori Mobile Legends dan PUBG seramai 335 orang.

“Ini sejajar dengan usaha untuk membudayakan E-Sport dalam kalangan pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama MASUM mengambil inisiatif melaksanakan E-Sport Uni-League yang diadakan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar terhadap E-Sport.

“Pertandingan diadakan secara maya bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam kampus. Ini bertepatan dengan objektif untuk memperkasa pelajar, KRiSMA merupakan medium bagi mencungkil bakat pelajar serta melatih dan menyokong bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah Karnival Sukan Mahasiswa (KRiSMA) E-Sport UMK Fasa 1 tahun 2021 kelmarin. Pertandingan itu berlangsung pada 9 dan 10 Mei lepas.

KRiSMA E-Sport Fasa 1 diadakan secara dalam talian disiarkan secara langsung menerusi Facebook Rasmi Pusat Sukan UMK.

Pengarah Pusat Sukan UMK, Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib pula berkata, penganjuran E-Sport untuk memastikan pemilihan atlet yang berkelayakan bagi mewakili UMK pada kejohanan E-Sport.

Katanya, kejohanan KRiSMA yang diadakan pada setiap tahun berikutan situasi pandemik Covid-19 di seluruh negara sekarang.

Menurutnya juga penganjuran E-sport akan mempercepatkan proses pendigitalan kehidupan dalam pelbagai situasi seperti pengendalian mesyuarat, webinar, E-dompet dan lain-lain.

“E-sport kini semakin popular dalam kalangan belia termasuk pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.

Pada pertandingan itu Team KEDEPER E-Sport dari Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) muncul sebagai juara bagi kategori Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG).

Tempat kedua dimenangi pasukan BG GUYS dari Fakulti Senibina dan Ekistik (FAE). Dan tempat ketiga dimenangi pasukan Squirell Reborn dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Manakala bagi kategori Mobile Legend Bang Bang (MLBB), tempat pertama dirangkul pasukan BELACAN E-Sport dari Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Tempat kedua pasukan LEE OLD BOYS dari Fakulti Sains Bumi (FSB) dan tempat ketiga HALO SINERGI dari Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -