‘Bendera Putih’ dalamnya ada berbagai warna

ISU berkenaan mengibarkan ‘Bendera Putih’ yang tular, menarik perhatian majoriti ‘netizen’. Saya tidak tahu siapa yang memulakannya. Ianya nampak disambut sebahagian orang dan ada juga yang tidak menyokong dengan alasan masing-masing. Bagi saya, mungkin ada jalan meraikan keduanya. Sebagaimana kita memancarkan cahaya putih ke prisma, ia akan berpecah dan membentuk tujuh warna berlainan iaitu pelangi. Cuma kita perlu tahu apakah warna kita:

Advertisement

1. Jika warna anda adalah warna rakyat miskin, yang memerlukan bantuan, barangkali malu terpaksa diketepikan. Bahkan mungkin ada yang sanggup mencuri. Kata ulamak, fakir itu dekat kepada kafir. Bermaksud mudahnya hati kita ini terpengaruh dengan keduniaan kerana kefakiran kita. Jika si miskin itu tinggal di kampung, tidak munasabah mengibarkan bendera putih ini kerana kehidupan di kampung biasanya saling bertolong-tolongan dan mengenali. Berbeza di bandar, mungkin elok dikibarkan bendera ini kerana sikap masyarakat yang tidak mengenal jiran. Mengibarkannya lebih baik daripada mencuri.

2. Takdirnya anda adalah golongan M40 atau T20, yang terjejas berniaga dan mempunyai rumah serta kenderaan. Tidaklah sesuai dikibarkan bendera kerana nanti mungkin menjadi fitnah yang lebih besar. Mulut orang sekarang, faham-faham sahajalah. Nanti diviralkan hal kita, konon nak menipu. Sedangkan golongan ini tiada gaji tetap, komitmen juga tinggi walau dilihat berada. Lebih aula meminta bantuan daripada saudara mara atau rakan-rakan yang mengenali diri anda. Paling kurang boleh berhutang dahulu, nanti dibayar balik.

3. Kalau anda orang yang kaya, mampu serta tiada masalah lain, kibaran bendera ini terutama di sekitar kejiranan anda, ia adalah panggilan wajib untuk anda penuhi kerana meninggalkan jiran dalam keadaan lapar, adalah haram. Jika tiada kibaran bendera sekalipun, kita wajib tahu hal keadaan jiran kita. Namun hal ini amat jarang dipraktikkan oleh semua kita. Tidak terasakah kita sudah terlalu jauh dari sunnah Nabi?

4. Andai kata anda adalah sebahagian daripada JPKK yang bekerja membantu rakyat siang dan malam, kibaran bendera ini adalah sebagai satu panggilan pahala. Anda dengan senang hati pergi bertanya apa keperluan dan menghulurkan bantuan kepada mereka. Anda terlepas daripada dosa tidak mempedulikan rakyat di bawah kawasan anda. Jangan dimarah jika mereka mahu mengibarkannya. Tetapi banggalah kerana anda dapat membantu. Sebarkan nombor anda untuk dihubungi.

5. Bagi anda dari kalangan iman yang kuat, inilah masanya untuk muhasabah dan memikirkan dosa sendiri. Ingatkah ayat al-Quran berkenaan ada golongan yang tidak diketahui mereka miskin kerana menahan diri dari meminta-minta? Atau juga Hadis Rasulullah S.A.W yang menyeru kepada manusia lebih baik mengambil tali dan kapak, lalu pergi ke hutan mencari kayu api untuk dijual daripada meminta. Tidak sesuai bagi anda mengibarkan bendera. Tidaklah sama tindak balas orang beriman dengan biasa dalam menghadapi ujian. Ajarkan mereka kesabaran, tapi jangan dipaksa mereka dalam waktu begini, mereka tidak peduli.

6. Sekiranya anda dari kalangan politikus, anda akan sentiasa melihat kepada pergerakan lawan anda. Isu mengibarkan bendera ini adalah isu maruah kepada kumpulan masing-masing. Jika banyak bendera terkibar, ia boleh dianggap kegagalan rancangan kerajaan bagi sesetengah pihak. Manakala jika kurang atau tiada kibaran dibuat, bermakna kempen ini memakan diri pembangkang. Pakej pemulihan kerajaan akan dilihat sebagai berjaya oleh rakyat. Dan mereka tetap akan berlawan selepas ini. Ini adalah tabiat dalam politik.

Warna politik inilah yang  paling sukar diterjemahkan kerana isu ini sememangnya berasal daripada politik. Kerajaan bertindak memberi bantuan pemulihan ini melalui organisasi politik, sama ada menerusi kerajaan ataupun parti. Apa sahaja yang datang dari kerajaan, pembangkang sebolehnya mahu memburukkannya. Mahu mengganggu tumpuan kerajaan dan rakyat supaya dilihat negatif. Jadi jika anda tidak mampu memahami ini dari sudut politik, biarkanlah mereka. Ia lebih baik daripada golongan yang menafikan mereka dari mana-mana politik, tetapi akhirnya berpolitik lebih teruk daripada politikus yang ada.

Ada kemungkinan lawan akan menggunakan taktik ‘false flag’. Mereka mengibarkan bendera palsu hanya bagi menunjukkan betapa ramai orang dalam kesusahan. Sedangkan ia sekadar mahu diambil gambar. Lihat sahaja kes memakan kulit ayam. Lain benar pengakuan yang terbabit dengan cerita asal itu. Lalu sebagai organisasi yang sudah jauh berpengalaman menghadapi serangan ini, politikus tahu cara musuhnya bergerak. Musuh bergerak dalam kawasan kelabu. Menumpang program orang sambil menyerang. Nanti bila diserang balik, mereka sembunyi di belakang empunya program. Begitulah halnya.

7. Atau mungkin anda tidak daripada mana-mana kumpulan di atas dan anda suka menyebarkan sesuatu kepada umum sama ada berita betul atau tidak, maka berhentilah. Kita berada dalam keadaan meruncing dengan suasana yang amat serius. Cukuplah menjadi batu api yang tiada apa pun keuntungan yang dapat. Dapat gambar, tular, dengar cerita, sebar, apa-apa sahaja yang dirasakan menarik, terus dikongsi. Padahal kita tidak tahu apa-apa pun berkenaan cerita itu. Berdoalah agar ujian ini segera diangkat dan takutlah kepada Allah.

Oleh itu jika kita dapat melihat warna-warna yang lain dalam bendera putih itu, kita akan dapat memahami keadaan orang lain. Tidak perlu marahkan orang apabila mengangkat bendera putih, kita juga tidak boleh memaksa orang yang memerlukan untuk menahan diri mereka dari meminta-minta. Cuma yang kita perlu lihat dan faham ialah, adanya golongan yang cuba menangguk di air yang keruh. Bayangkan dengan keadaan cemas sebegini, mereka masih mencari peluang untuk kepentingan mereka. Tidak lain ini hanyalah kerana tiada lagi ruang untuk mereka menafikan bantuan kerajaan kepada rakyat.

MOHD NASIR ABDULLAH
30 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 30/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1295779460/posts/10225002751358076/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.