Kerajaan sebagai ‘lombong emas’ (Bah 2)

- Advertisement -

ISU sama ada kerajaan atau swasta melaksanakan sesuatu projek atau menguruskan sesuatu perkhidmatan telah menjadi tajuk kajian dan perbahasan hangat sejak ia mula-mula diperkenalkan. Ramai yang telah membahaskannya secara panjang lebar. Sama ada menyokong atau menentang, mereka memiliki hujah masing-masing.

Walau bagaimanapun pandangan yang paling penting adalah rakyat yang merupakan pengguna kepada perkhidmatan atau aset yang diswastakan. Mungkin pandangan mereka tidak bersandarkan kepada mana-mana teori ekonomi tetapi ia tidak boleh diabaikan.

- Advertisement -

Pada tahun 1983, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan penswastaan sebagai dasar negara. Ia bertujuan untuk meningkatkan peranan sektor swasta di dalam pembangunan ekonomi negara justeru itu dapat mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan. Penglibatan kerajaan di dalam ekonomi telah dikurangkan. Dasar ini juga bertujuan untuk menambah kecekapan agensi dan syarikat milik kerajaan yang diswastakan. Pada tahun 1991, kerajaan telah menerbitkan Pelan Induk Penswastaan Malaysia (PMP) diikuti dengan Garis Panduan Penswastaan.

Walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamed, mengamalkan Dasar Pandang Ke Timur namun dasar penswastaan ini juga dilaksanakan oleh kerajaan Konservatif United Kingdom pimpinan Margaret Thatcher dan kita seolah-olah meniru mereka. Di bawah pentadbiran Thatcher dari 1979 hingga 1990, lebih 40 syarikat milik negara telah diswastakan dan lebih 600 bilion pound (lebih RM3,450 bilion) aset negara telah dijual.

Di Malaysia agensi dan syarikat kerajaan yang telah diswastakan sejak dasar ini diperkenalkan pada tahun 80-an termasuk Jabatan Telekom Malaysia menjadi Telekom Malaysia (TM), Lembaga Letrik Negara menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia menjadi Pos Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu menjadi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Baru-baru ini isu penswastaan ini timbul semula apabila terdapat dakwaan bahawa kerajaan akan menyerahkan Lapangan Terbang Subang kepada sebuah syarikat swasta. Walaupun Menteri Kewangan telah menafikan penjualannya namun isu penjualan aset ini telah mengundang bantahan rakyat.

Jika ditanya kepada rakyat Malaysia untuk memberikan contoh penswastaan mungkin majoriti akan menjawab penswastaan lebuhraya. Sementara apabila ditanya sama ada mereka berpuas hati atau tidak, mungkin ramai yang akan membangkit kadar tol yang dinaikkan dari masa ke semasa. Mereka melihat kerajaan gagal mengawal kadar tol.

Satu contoh adalah pembinaan Lebuhraya Utara Selatan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Baharu yang telah diserahkan kepada pihak swasta dalam tahun 1988 dan dirasmikan dalam tahun 1994. Sebelum itu ia telah dilancarkan dalam tahun 1981 tetapi dalam tahun 1986 kerajaan telah mengambil keputusan agar ia diswastakan kerana kemajuan kerja yang perlahan kerana keadaan ekonomi yang lembab akibat kejatuhan harga komoditi. Sebelum diswastakan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bertanggungjawab di atas pelaksanaannya dan dua pertiga dari 772 km lebuhraya itu telah pun disiapkan. Kita tidak tahu sama ada lebuhraya itu dapat disiapkan pada tempoh masa yang sama jika ia tidak diswastakan. Tetapi walaupun terdapat kelewatan, rakyat tidak perlu membayar tol. Adakah kelewatan ini berbaloi?

Terdapat juga mereka yang membandingkan dua contoh di Lembah Kelang iaitu Lebuhraya KESAS sepanjang 34.5 km di mana pengguna perlu membayar tol dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sepanjang 48.8 km yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) justeru itu tidak bertol. Walaupun satu berstatus lebuhraya (E5) dan satu lagi adalah Jalan Persekutuan (Federal Route 28) namun ia hampir sama. Tidak ada beza di antara laluan yang bertol dan tanpa tol. Bukankah ini bermakna kerajaan sendiri mampu membina lebuhraya?

Walau bagaimanapun mereka yang yakin dengan penswastaan akan menamakan contoh kejayaannya. Tun Mahathir Mohamad ketika masih Perdana Menteri pada bulan Januari 2020 berkata kejayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuktikan Dasar Penswastaan Negara membawa manfaat kepada rakyat kerana mereka memperolehi perkhidmatan yang lebih baik. Katanya TNB kini menjadi syarikat utiliti bertaraf dunia. Walau bagaimanapun di Semenanjung tidak ada saingan kepada mereka justeru itu rakyat tidak boleh membuat sebarang perbandingan.

Kita telah melihat bagaimana tanah kerajaan yang diserahkan kepada pihak swasta untuk dibangunkan. Tanah kerajaan ini boleh jadi tapak sekangkang kera di tepi padang permainan untuk membina medan selera atau tapak pangkalan TUDM seluas 197 ekar untuk dimajukan bersama syarikat tempatan dan syarikat negara China. Kita juga telah melihat bagaimana perkhidmatan-perkhidmatan yang diuruskan oleh sektor swasta. Terdapat penswastaan dianggap berjaya dan ada yang dianggap gagal. Di antara tujuan asal penswastaan adalah agar bebanan kewangan kerajaan dapat dikurangkan tetapi jika kerajaan terpaksa menyuntik bantuan kewangan (bailout) maka sudah tentu matlamat penswastaan itu telah gagal.

Pihak swasta dikatakan lebih cekap dan lebih berkemampuan dari kerajaan tetapi adakah ini sekadar persepsi sahaja? Orang awam mungkin akan berkata mereka yang bekerja dengan kerajaan dan mereka yang bekerja dengan sektor swasta keluar dari universiti yang sama atau dari universiti yang setaraf. Kenapa tidak perkasakan mereka yang bekerja dengan kerajaan jika benar mereka tidak setaraf dengan mereka di sektor swasta? Kenapa tidak perkasakan agensi-agensi kerajaan agar setaraf dengan sektor swasta?

Ada juga yang berhujah kemampuan kewangan sektor swasta ada melebihi kemampuan kerajaan tetapi sektor swasta juga perlu mencari dana. Hanya dengan penswastaan kerajaan tidak lagi dibebani dengan komitmen kewangan seperti untuk mendapatkan pinjaman.

Justeru itu soalan yang kerap ditanya adalah kenapa kerajaan tidak boleh melakukannya sendiri. Mungkin ada yang boleh ada yang tidak. Tetapi pemberian kontrak perlu berdasarkan kemampuan dan keupayaan. Terdapat banyak dakwaan bahawa penswastaan ini menguntungkan para kroni. 

Kepentingan rakyat juga perlu dijamin. Jangan pula kerana mengutamakan keuntungan rakyat menanggung beban. Jika begitu bukan kerajaan sahaja merupakan lombong emas tetapi rakyat juga adalah lombong emas kerana mereka juga adalah sumber hasil.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 30/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4443464009005895/

- Advertisement -